“Saya sudah dua hari tidak dapat tidur kerana memikirkan tentang anak-anak dan perniagaan saya.”
Itu luahan pempengaruh media sosial terkenal, View Chin yang kini trauma apabila kes skandal melibatkan dirinya tular di TikTok dan Facebook sehingga mencetuskan kontroversi.
View Chin mendedahkan, dia juga risau akan keselamatan tiga anak perempuannya yang masih berumur 7, 5 dan setahun lebih, selepas bekas isterinya, Shermine Ah Moi bertindak mengosongkan rumah serta membawa anak mereka pergi.
Bukan itu sahaja, dia juga tidak dapat mengenal pasti keberadaan anak-anaknya.
“Saya cuba cari Ah Moi, tapi dia sudah ‘block’ saya di media sosial, jadi saya tak dapat tahu bagaimana keadaan anak-anak saya,” luahnya dalam satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! semalam.
Katanya, dia juga pernah bertanya dengan kenalan rapat yang lain sekiranya mereka tahu di mana anak-anaknya dibawa oleh Ah Moi.
“Saya cuba hubungi kawan yang lain kalau mereka tahu dan mujur anak-anak saya sekarang selamat di bawah jagaan keluarga terdekat,” ujarnya.
Dia juga resah memikirkan perniagaannya yang terpaksa ‘direhatkan’ buat sementara waktu bagi memberi ruang untuk dirinya menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya hentikan dahulu perniagaan buat sementara waktu, sebab nak fokus untuk menyelesaikan masalah ini dan juga rumah saya,” katanya.
Mengulas mengenai kerugian yang terpaksa ditanggung View Chin disebabkan kontroversi ini, dia memberitahu boleh mencecah sehingga jutaan ringgit.
View Chin adalah usahawan yang sering menjual produk, seperti baju kurung, jubah, kaftan dan baju Melayu menerusi live di Facebook dan TikTok.
Sumber : Kosmo! Online