Penduduk Taman Selayang Mutiara memohon tindakan diambil terhadap pengendali lori yang degil yang sering meletakkan kenderaan mereka di sekitar kawasan kediaman. Tindakan ini telah mengganggu pergerakan kenderaan penduduk dan menjadikan lorong jalan menjadi sempit.
Masalah ini berlaku sejak beberapa tahun lalu dan pengendali lori tersebut didakwa keluar masuk dan memunggah barangan pada lewat malam hingga awal pagi.
Menurut tinjauan Harian Metro, sekurang-kurangnya lima lori lima tan diparkir di bahu jalan dan di hadapan rumah penduduk. Salah seorang penduduk yang ditemui, Ahmad, 64, mengatakan lori-lori tersebut dikendalikan oleh sekumpulan individu yang menyewa rumah di kawasan perumahan tersebut.
Ahmad juga memberitahu bahawa rumah-rumah tersebut diduga digunakan sebagai rumah transit untuk para pemandu lori. Penduduk-penduduk setempat memohon tindakan segera diambil untuk menangani masalah ini dan memastikan keselamatan serta keselesaan pergerakan di kawasan kediaman mereka.
"Saya kenal mereka (pemandu) ini, tapi saya malas nak bertekak. Dulu dah pernah tegur, tetapi dia buat tak tahu saja.
"Mereka ini orangnya tak ada masalah sangat, cuma itulah... apabila dia hidupkan lori, buat kerja tengah-tengah malam, ditambah dengan bau minyak (diesel) itu, memang mengganggu kami.
"Bising sangat malam-malam, kalau sesiapa yang ada anak kecil memang akan terganggu, terkejut budak itu dibuatnya," katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk dikenali Chun mengaku pernah menegur kumpulan pemandu lori beberapa kali kerana membuat bising di tengah malam namun, tegurannya tidak diendahkan.
Chun yang berusia lingkungan 50-an memberitahu, penduduk Taman Selayang Mutiara kebanyakannya sudah malas bertekak dengan kumpulan pemandu lori, yang ibarat mencurah air ke daun keladi.
"Saya bekerja di bengkel hari-hari sudah dengar bunyi enjin. Apabila balik rumah, dengar enjin lori pula...saya nak berehat pun tak boleh, bising!
"Mereka ini buat suka hati sahaja, malam-malam angkat barang, keluar masuk ganggu tidur orang-orang di sini," katanya.
Sementara itu, seorang daripada pemandu lori, Zaharmi Razali, 46, berkata, mereka terpaksa meletakkan kenderaan berhampiran kediaman kerana jenayah curi yang sering berlaku di situ.
Katanya, dia tidak mahu pengalaman pahit pada 2015 berulang apabila sebuah lori miliknya dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Justeru keputusan dibuat dengan meletakkan kenderaan itu di hadapan rumah, apatah lagi memandu lori itu adalah punca rezekinya buat menyara keluarga.
"Saya bekerja bidang ini dah 30 tahun, sejak berusia 16 lagi. Saya parkir depan rumah sebab tak nak kena curi. Ini lori saya sendiri, saya sbuat perkhidmatan bawa barang-barang.
"Dulu sebuah lori dah hilang. Beli lori bukan murah, deposit RM18,000. Apabila hilang, insurans cover ansuran bank sahaja. Deposit saya lesap macam itu je.
"Apabila parking luar, ada juga berlaku kecurian barang-barang dalam lori terutama bateri dan sebagainya. Jadi saya harap pihak berkuasa tengok baliklah perkara ini dan bantu juga kami," katanya.
Sumber : Harian Metro