Pelakon dan pengacara, Fizo Omar, berumur 37 tahun, muncul untuk menjelaskan perkara sebenar mengenai kontroversi dengan bekas isterinya yang juga seorang usahawan, Mawar Karim, baru-baru ini.
Melalui temubual bersama program hiburan popular, Melodi di TV3, Fizo, yang sebenarnya bernama Wan Hafizol Wan Omar, menjelaskan bahawa sindiran yang dikeluarkan oleh bekas isterinya itu ditujukan kepadanya dan bersifat fitnah.
"Sebenarnya saya agak ketinggalan, tidak tahu menahu sehingga salah seorang pekerja saya beritahu. Saya kurang jelas apa yang dimaksudkan tapi bila tengok respons daripada netizen memang itu ditujukan kepada saya.
"Sekiranya betul, saya rasa lebih 'gentle' tak perlu berkias-kias, sebut sahaja nama senang kita ambil tindakan susulan. Pada saya itu satu fitnah yang boleh menjatuhkan reputasi saya dan keluarga.
"Sekiranya betul, 'be genuine, be gentle', sebut nama dan kemukakan bukti, petik nama. Jadi nama yang dipetik akan menjawab, mungkin akan kemukakan bukti siapa yang betul, siapa yang salah. Tak gentlelah nak meroyan kat media sosial seorang, tak puas hati, petik nama. Rasa kalau ada benda tak betul, kita pergi mahkamah," tegas Fizo.
Tambah Fizo, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas agar perkara tersebut tidak berulang.
"Saya tak ada apa yang di takutkan, selepas berpisah, tiga tahun saya berdiam diri tak pernah buat sebarang kenyataan sebab saya memikirkan anak.
"Tiada angin tiada ribut kita nak sesuatu untuk dapat perhatian daripada orang, tak payah berkias-kias, 'straight to the point', kita tengok apa tindakan yang patut kita buat.
"Sekiranya saya nampak memang agak melampau, saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan dengan niat benda ini tidak berlaku lagi.
"Benda dah lepas, saya dah berkahwin, dah bahagia, dah berkeluarga dan dia sendiri pun dah ada pasangan dan keluarga. Jaga pasangan masing-masing. Tak perlu buang masa.
"Sama-sama kita bersahabat baik demi membesarkan anak, itu lagi bagus sebenarnya," jelasnya.
Dalam pada itu, Fizo memberitahu hubungannya bersama isteri kini dalam keadaan baik sahaja bairpun terpalit dengan isu ini.
"Secara jujur isteri saya jenis tak ambil tahu, sehinggalah saya yang beritahu, sekurang-kurangnya saya beritahu, dialah yang banyak berpesan pada saya.
"Kadang-kadang kita nak juga bersuara di media sosial, tapi atas nasihat daripada isteri saya, bersabar memberi kekuatan kepada saya dari segi hubungan kami tidak terjejas, Alhamdulillah," katanya.
Fizo juga berharap isu ini tidak berpanjangan demi kebaikan anak-anak dan keluarga. Malah berpesan agar tidak terlalu beremosi dalam sesuatu perkara.
"Jangan terlalu emosi, kita ni orang tengok kiri, kanan, depan dan belakang. Kalau apa yang terbuku di hati, kita masih berhubung, ada nombor telefon, tegur cara baik-baik, saya harap benda ini tidak berlarutan demi anak, demi nama baik kedua-dua keluarga.
"Manusia sabar ada tahap, sampai tahapnya mungkin akan bersuara. Ingat, negara kita ada undang-undang. Jangan sampai susah satu hari baru kita fikir kesan dan akibat semata-mata mengikut emosi kita," tutupnya tegas.
Terdahulu, bekas isteri Fizo, Mawar Karim tampil membalas komen warganet yang menyatakan bahawa kehidupannya kini lebih bahagia berbanding dulu yang bergelar isteri. - XTRA
Sumber : Berita Harian Online