Kerajaan tidak keluar peruntukan satu sen pun untuk menu rahmah, peniaga sukarela bersama bantu B40, kata Salahuddin

0

 


Pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah, yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan di bawah, sejak akhir bulan lalu tidak melibatkan sebarang peruntukan atau belanjaan dari kerajaan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata bahawa inisiatif ini sebaliknya adalah kerana komitmen peniaga yang secara sukarela melakukannya.


Beliau mengatakan bahwa sejak dilancarkan, Menu Rahmah mendapat sambutan yang baik di seluruh negara, dengan banyak peniaga yang bersama-sama menjawab aspirasi kerajaan untuk membantu mereka yang memerlukan, terutama golongan B40.

“Ramai golongan peniaga berlumba-lumba menyertai inisiatif ini dengan menawarkan juadah serendah RM5 di premis mereka, ini maknanya mereka mahu bersama melakukannya dengan semangat kebajikan tanpa paksaan sesiapa.


Jadi konsepnya di sini jelas, tiada libat satu sen pun duit kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan inisiatif Menu Rahmah yang kini disertai Persatuan Pengusaha Tom Yam Malaysia (Pertom) di Lembah Keramat di sini hari ini.


Salahuddin berkata kementeriannya tidak pernah memaksa mana-mana perniagaan, pengusaha dan pemain industri makanan baik besar mahupun kecil untuk melibatkan diri di dalam penjualan Menu Rahmah.


“Kita tidak paksa, sebaliknya ia adalah satu libat urus dengan industri antaranya Mydin (Mydin Mohamed Holdings Berhad), Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia, Pertom dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia.


“Selepas sesi libat urus ini barulah kita kemukakan idea Menu Rahmah ini dengan sasaran pembeli ialah mereka yang memerlukan juadah harian pada harga mampu,” katanya.



Katanya kementeriannya sedang dalam proses membangunkan satu aplikasi yang mengandungi direktori premis makanan yang menawarkan sajian Menu Rahmah di seluruh negara.


Beliau berkata ia bagi memastikan rakyat mempunyai maklumat terhadap peniaga yang menyertai inisiatif kerajaan itu di kawasan mereka selain pada masa sama mempromosikan premis yang menawarkan jualan Menu Rahmah.


Pada 31 Jan lepas, Salahuddin melancarkan inisiatif Menu Rahmah dan sebanyak 15,000 premis menjual makanan turut serta melaksanakan usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.


— BERNAMA

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)