Anak kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, 64 tahun, menjelaskan bahawa permintaan untuk memperpanjang tempoh pembayaran royalti atas karya bapanya yang berakhir pada 29 Mei ini dilakukan kerana ia menjadi sumber pendapatan hidupnya.
Sazali mengatakan bahawa dia semakin tua dan tidak lagi memiliki kekuatan untuk bekerja.
"Saya bukan mendesak, saya cuma minta tolong... Itupun kalau boleh. Kalau tidak dapat, tak mengapa. Itu maknanya bukan rezeki saya.
"Kalau dapat, bukan untuk saya makan seorang, tetapi semua cucu Allahyarham P Ramlee akan merasa.
"Saya sudah tua, lutut kanan dan pinggul patah akibat kemalangan pada 2015. Memang tidak larat hendak kembali bekerja," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) di kediamannya di sini, hari ini.
Sazali berkata demikian bagi memperbetulkan persepsi konon tindakannya memohon kerajaan melanjutkan pembayaran royalti atas karya P Ramlee sebagai tindakan terdesak dan terlalu meminta-minta.
Sebelum ini, Sazali dilaporkan merayu kerajaan menimbang cadangan melanjutkan tempoh kontrak royalti lagu karya arwah bapanya. Sazali mendakwa dirinya semakin uzur dan hanya bergantung kepada royalti itu bagi menampung perbelanjaan kos perubatan dirinya dan isteri, Hamidah Hitam.
Bulan lalu, BH Online melaporkan, pada 29 Mei depan, genap 50 tahun pemergian Allahyarham P Ramlee yang menghembuskan nafas terakhir akibat akibat sakit jantung, lantas meninggalkan peminat legasi tidak ternilai melalui karya seni filem dan lagu merentas zaman.
Sepanjang tempoh itu, mengikut Akta Hak Cipta 1987, royalti daripada karya lagu Allahyarham P Ramlee diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehingga Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983.
Royalti kemudian diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.
Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti yang diuruskan Badan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) itu diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali, 63.
Mendapatkan perkembangan terkini berhubung gesaan penggiat industri agar tempoh agihan royalti P Ramlee dilanjutkan 20 tahun lagi, MACP dilapor menjelaskan, pihaknya masih menunggu keputusan kerajaan.
Ketua Bahagian Undang-Undang MACP, Rashidah Ridha, dilaporkan berkata pihaknya sudah berusaha memperjuangkan usul melanjutkan agihan royalti kepada 70 tahun melalui saluran betul.
Sazali berkata, sejak bersara pada 2015, wang royalti itulah yang menampung kehidupannya termasuk membiayai kos perubatan dirinya dan isteri.
Ditanya reaksinya jika rayuan itu ditolak, Sazali reda jika itu menjadi keputusan kerajaan.
"Kalau tak dapat, tidak mengapa. Mungkin saya terpaksa cari jalan lain seperti memohon bantuan kerajaan dan persatuan seni untuk menyara hidup," katanya.
Sumber : Berita Harian Online