"Saya tak menghilang ke mana-mana pun. Cuma memang sebelum ini dah tiga bulan saya tiada kerja dan tawaran berlakon.
"Jadi saya terfikir untuk cuba nasib sertai TikTok. Dua minggu saya buat siaran langsung di medium ini, tak sangka boleh menjana pendapatan daripada situ."
Demikian kata pelakon, Johan As'ari berkenaan bidang yang baharu diceburinya itu.
Menurut Johan Ariff As'ari, 37 tahun, dia kini semakin serius untuk menjadi tiktoker kerana dapat mengumpulkan pendapatan yang cukup baik setiap bulan.
Dia mengatakan, komitmennya untuk mengadakan sesi live setiap kali dia bersiaran di aplikasi tiktok telah membawanya ke dalam senarai 50 tiktoker terbaik di Malaysia.
"Saya tak ada niat pun cari duit dekat TikTok, hanya nak isi masa lapang disebabkan tidak mempunyai sebarang penggambaran drama.
"Saya hanya bersembang dengan peminat dan tak sangka, hari pertama bermain TikTok saya menerima banyak hadiah daripada mereka yang bermurah hati.
"Malah, kalau ikut ranking, saya kini berada di kedudukan 46 terbaik di Malaysia," katanya.
Pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa ini turut memaklumkan, pada permulaannya dia tidak mempunyai peralatan yang lengkap untuk proses ini.
"Saya hanya menggunakan bekas botol kurma sebagai tripod untuk mengadakan sesi siaran langsung bersama peminat.
"Topik yang dikongsikan juga adalah bersifat 'random' dan bersahaja. Saya cuma ada satu telefon bimbit, pemegang telefon pun tak ada. Saya sandarkan telefon pada bekas kurma sahaja.
"Setiap hari pun saya akan berborak pasal benda yang sama sahaja, fasal kehidupan seharian. Saya rasa mungkin itu lebih menarik perhatian mereka kerana saya lebih spontan," katanya ditemui pada pelancaran Pejabat Urusan KamiSempoi International Agency (KSIA) cawangan Kuala Lumpur di Quill City Mall baru-baru ini.
KSIA adalah sebuah agensi di bawah TikTok Malaysia yang mengumpulkan ramai selebriti dibawahnya antaranya Datuk Seri Eizlan Yusof, Riezman Khuzaimi, Zed Zaidi, Dazrin Kamarudin, Nita Hamzah dan ramai lagi.
Sumber : Harian Metro