Seorang pendaki wanita yang cedera pada kaki digendong untuk dibawa turun oleh anggota Bomba dan Penyelamat Balai (BBP) Cameron Highlands, pada jam 4.40 petang ini.
Ketua Zon 3, Jabatan Bomba Penyelamat Pahang, Shahrul Nizam Nasir, berkata pendaki berkenaan cedera ketika mendaki Gunung Jasar di Jungle Trail 10, Cameron Highlands bersama empat rakannya.
"Sepasukan lapan anggota BBP Cameron Highlands bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan untuk memberi bantuan kepada mangsa.
"Anggota bomba telah menurunkan mangsa yang cedera dengan cara menggendong," katanya.
Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tanah Rata untuk rawatan lanjut, manakala empat rakannya, iaitu tiga wanita dan seorang lelaki tidak cedera.
"Penggemar aktiviti lasak dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika mendaki gunung, khususnya dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang," katanya.
Sumber : Berita Harian