Saya tak dera Bella, yang gigit Bella adalah Balqis, kata Siti Bainun

0

 


Kesan gigitan pada perut Bella berasal dari insiden pergaduhan yang terjadi antara remaja sindrom Down tersebut dengan Balqis, bekas penghuni Rumah Bonda. 


Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, ketika membacakan pernyataan saksi dalam prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen hari ini mengungkapkan bahawa insiden tersebut berlaku kerana Bella menggunakan pencuci muka Balqis.


"Dua-dua sebenarnya gigit-menggigit selepas Bella pakai pencuci muka Balqis.


"Selepas pakai (krim), (mereka) berlari (dan) berkejar satu rumah sebelum masing-masing gigit satu sama lain.


"Saya letak minyak gamat dan krim, malah saya marah dua-dua sama macam ibu bapa lain tegur anak-anak apabila bergaduh," katanya pada prosiding hari kedua, hari ini.



Bagi kesan lecur pada badan Bella pula katanya, ia berlaku apabila termos berisi air panas tersimbah ke arah Bella ketika remaja itu bergaduh dengan Balqis pada Mei 2021.


"Saya tidak mendera Bella. Jika benar saya berniat untuk mencederakan Bella, tidak mungkin saya cuba menyembuhkan Bella, bertanya kepada ahli farmasi ubat-ubatan yang sesuai untuk merawatnya dan menghabiskan wang ringgit bagi membeli segala keperluan dan ubat-ubatan terbaik untuknya," katanya.


Menurutnya, isu pergaduhan dengan Balqis itu juga diakui sendiri Bella ketika peguamnya bertanya remaja itu dalam prosiding pendakwaan sebelum ini.


"Saya pun tak faham kenapa Bella dengan Balqis ini tak boleh sesuaikan diri (tak boleh jumpa dan kerap gaduh)," katanya.


Dalam pada itu, Siti Bainun berkata, hasil pemeriksaan saksi pendakwaan kedua, doktor di bahagian kecemasan dan trauma, Dr S Meenambigai terhadap paru-paru, abdomen dan kaki Bella juga menunjukkan keputusan normal.


"Bella ini memang sangat-sangat sihat. Dia tidak ada sakit asma atau apa-apa sakit.


"Dapatan ini menunjukkan saya tidak pernah memijak perut, menendang perut, menyuruh berdiri lama dan apa jua jenis penderaan yang direka saksi tidak pernah berlaku.



"Malah, kaki Bella dilaporkan tidak bengkak sedangkan saya dikatakan setiap hari mengarahkan dia berdiri terlalu lama," katanya.

Pada prosiding pendakwaan 8 April yang lalu, saksi pendakwaan kelima, bekas penghuni Rumah Bonda di Wangsa Maju, Yasmin Nahar Mahmood, 20, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, bahawa Siti Bainun mengarahkan dia untuk menggigit Bella. 


Katanya, arahan itu diberikan kerana Bella tidak mengikuti arahan tertuduh untuk berdiri di bahagian dobi sebuah unit kondominium yang didiami mereka di Wangsa Maju. 


Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. 


Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)