Krisis rumah tangga tidak menjejaskan fokus pengarah kontroversi, Syamsul Yusof untuk menyiapkan filem baharu berjudul The Original Gangster yang masih dalam pembikinan.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di Instagram (IG), sebentar tadi, Syamsul berkongsi suasana di lokasi penggambaran filem yang diterbitkan syarikatnya iaitu Syamsul Yusof Films dan Razor's Edge Pictures.
"Masa untuk penggambaran,"tulis Syamsul ringkas.
Entri itu antara lain turut memaparkan Syamsul mengucapkan tahniah kepada anak seniman legenda, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin, Putera Hang Jebat, yang berada bersamanya ketika itu.
Ucapan tahniah itu dibuat susulan Putera Hang Jebat dilaporkan berjaya mengetepikan dakwaan memalsukan dokumen Surat Wakil Kuasa membabitkan sebidang tanah seluas 0.265 hektar di Kampong Pasir, Gombak yang dibuat oleh dua abangnya, Jeffrey Jins dan Hang Tuah, tiga tahun lalu.
Sebelum mengakhiri rakaman itu, anak penerbit popular, Datuk Yusof Haslam itu turut meminta semua pihak mendoakan kelancaran penggambaran filem itu.
"Doakan The Original Gangster," katanya.
Filem itu menampilkan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Adi Putra, Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Shaheizy Sam, Nas-T, Soffi Jikan, Pablo Amirul dan bintang aksi Indonesia, Yayan Ruhian.
Kemelut rumah tangga dihadapi Syamsul dan isterinya, Puteri Sarah Liyana sejak empat tahun lalu semakin hangat diperkatakan selepas pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu membuat pengakuan sudah berkahwin dua dengan Ira Kazar di Thailand.
Ibarat retak menanti belah, pendedahan Syamsul itu membuatkan konflik yang berlaku terus berlarutan hingga akhirnya Puteri Sarah nekad untuk memfailkan perceraian, Isnin ini.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul dan Sumayyah.
Sumber : Berita Harian Online