Isu Saya Dengan Norman Tak Pernah Diselesaikan, Kata Abby Abadi

0

 


Bukan niatnya menyindir atau mengungkit kisah silam apabila memuat naik perkongsian kisah kecurangan yang berlaku dalam masyarakat.


Malah, perkongsian penyanyi dan pelakon Abby Abadi, 45, itu bukanlah ditujukan kepada sesiapa, sebaliknya sekadar kandungan dimuatkan dalam media sosialnya.


Bagaimanapun, sudah tentu pelakon drama Gerak Khas itu berang apabila ada pihak sengaja membuka aib bekas suaminya, Norman Hakim apabila masih mengungkit soal kecurangan seperti tidak mampu 'move' on'.


"Kenapa setiap kali isu kecurangan timbul mesti nama saya akan terkait. Ia sudah jadi macam perkara biasa walaupun hantaran yang dimuat naik tidak ada kena-mengena dengan kisah hidup saya.


"Saya bukan bosan dengan netizen yang suka serkap jarang, tetapi kalau boleh janganlah memandai-mandai.


"Jika tak tahu apa-apa, tolong jangan komen. Ingat sikit dosa dan pahala," katanya kepada BH Online.


Mengulas apakah reaksi Norman apabila kemelut pernah berlaku dalam rumah tangga itu tiba-tiba dibangkitkan, pemilik nama lengkap Arbaiyah Abdul Manan ini berkata, mereka memilih tidak membincangkan perkara itu.


"Sejujurnya, apa yang berlaku antara saya dan Norman dahulu tidak pernah selesai sebenarnya.


"Namun, saya memilih untuk tidak memperkatakannya. Itu kerana saya tidak mahu bergaduh.


"Dalam hal ini, saya lebih banyak beralah. Hanya saya dan Norman tahu apa sebenarnya yang berlaku.


"Allah maha mengetahui. Jadi biarlah dia jawab dengan Allah," ungkap bekas anggota kumpulan Elite ini.



Terdahulu, Abby menerusi hantaran video dalam platform TikTok meluahkan kekesalan apabila ada pihak sering mengungkit kisah silamnya setiap kali isu curang dalam kalangan artis menjadi tular.


Abby mendakwa tindakan itu seperti menabur fitnah kerana apa yang diperkatakan tidak benar dan menyifatkan perbuatan mereka sebagai memandai-mandai.


Kisah perceraian Abby dan Norman cukup hangat diperkatakan pada 2009.


Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 2015, manakala Norman berkahwin kali kedua dengan pelakon Memey Suhaiza pada September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata.


Biarpun pernah melalui pengalaman pahit dalam rumah tangga, Abby kekal bersahabat dengan Norman dan Memey.


Sumber: BH online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)