Isteri ditahan polis, disyaki 'rembat' wang dan barang kemas suami RM520,000

0

 


Seorang wanita ditahan oleh polis kerana disyaki mencuri wang tunai dan barangan kemas milik suami dan mentuanya yang bernilai lebih setengah juta ringgit, di rumah mereka di Taman Permatang Pasir Perdana, Alai. 


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah berkata, penahanan wanita berusia 37 tahun itu dibuat pada Rabu lalu berikutan laporan yang dibuat oleh suaminya yang menjalankan perniagaan pinjaman wang berlesen. Menurut laporan, pengadu berusia 35 tahun itu menyatakan kehilangan hartanya itu disedari ketika dia pulang dari Kuala Lumpur ke rumahnya di Alai pada 4 Januari lalu.


"Ketika memeriksa dua peti besi miliknya sekitar jam 6.30 petang di tingkat dua dan tiga, pengadu terkejut mendapati wang tunai hasil jualan harian berjumlah kira-kira RM520,000 lesap.



"Pengadu menyatakan di dalam dua peti besi itu juga terdapat wang tunai tidak diketahui jumlah dan barang kemas milik ibunya.


"Disebabkan tiada kesan kerosakan pada kedua-dua peti besi, lelaki itu mengesyaki wang tunai dan barang kemas itu dicuri oleh isterinya sendiri sebelum membuat laporan di Balai Polis Kandang, pada jam 11.42 malam hari sama," katanya dihubungi di sini.


Christopher berkata, bertindak atas maklumat laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menjalankan siasatan sebelum menahan suspek di sebuah rumah di Jalan Chengal 4, Taman Merdeka, Batu Berendam pada 25 Januari lalu, kira-kira jam 9 malam.


Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek.



Menurutnya, suspek direman selama dua hari bermula 26 Januari lalu bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis semalam.


"Hasil siasatan awal, suspek ada memulangkan sebanyak wang tunai RM280,000 kepada iparnya namun dia turut membuat laporan polis di BP Kandang menafikan terbabit kes yang disiasat.


"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan," katanya.


Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)