PETALING JAYA - Ramai netizen terkejut apabila melihat seorang pekerja membersihkan peralatan memanaskan makanan di sebuah kedai serbaneka terkenal dengan cara yang tidak sesuai.
Melalui beberapa gambar yang dimuat naik di akaun Twitter @AshrafChak, dapat dilihat pekerja tersebut memasukkan mop lantai ke dalam microwave untuk membersihkannya.
Microwave tersebut biasanya digunakan oleh pelanggan untuk memanaskan makanan yang dibeli dari kedai tersebut.
@AshrafChak menulis "Hello kedai serbaneka, tolong jelaskan pada pekerja anda untuk membersihkan dengan cara yang betul. Mop lantai pun masuk dalam microwave, pengotor!"
Walaupun lokasi kedai serbaneka yang terlibat tidak dapat ditentukan, ciapan tersebut telah mendapat perhatian dari banyak netizen.
Ramai yang mengecam tindakan pekerja itu kerana dapat mengundang risiko penyakit kepada pelanggan yang menggunakan peralatan tersebut.
Sebagai bekas pekerja kedai serbaneka, beberapa netizen menyatakan bahawa mereka tidak diajar untuk melakukan perbuatan tersebut dan ini adalah "common sense".
Mereka menasihatkan agar aduan dibuat kepada pihak kedai serbaneka untuk tindakan selanjutnya.
“Sebagai bekas pekerja kedai serbaneka ini, kami tidak diajar untuk melakukan perbuatan ini. Ini semuanya adalah ‘common sense’.
Boleh buat aduan e-mel kepada kedai serbaneka tersebut untuk tindakan selanjutnya. HQ akan periksa sistem televisyen litar tertutup (CCTV),” ciap Nizamuddin.
“Orang yang lakukan ini, takkan tiada pengetahuan asas bagaimana untuk membersihkan peralatan memanaskan makanan? Harap tindakan dikenakan dengan segera,” ciap pengguna lain pula.
Artikel disunting dari – KOSMO! ONLINE