Tanggal hijab, inilah diri saya yang sebenar, kata Elyana

encik gotenks
0

Terbaharu, nama penyanyi dan juga pelakon Elyana mengisi senarai terkini artis wanita yang memancing kecaman umum selepas mengambil keputusan untuk tidak lagi berhijab.

Alasan penyanyi itu masih samar-samar sementelah tuan punya diri mengambil pendekatan untuk enggan mengulas lanjut.

Tetapi apa yang pasti, pelantun lagu Kalis Rindu itu seakan mengesahkan dirinya tidak lagi berhijab selepas tampil dalam keadaan tidak lagi menutup kepalanya ketika ditemui media baru-baru ini.

ata pemilik nama lengkap Erneelya Elyana Emrizal itu, dia lebih selesa untuk tidak mengulas lanjut berhubung soal membuka hijab bagi mengelak lebih banyak cerita tidak masuk akal direka oleh netizen.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak menjelaskan apa-apa kerana mereka (netizen) tidak inginkan penjelasan. Apabila saya menjelaskannya, macam-macam versi cerita tidak masuk akal akan keluar.

“Jadi, demi menjaga jiwa dan persekitaran, saya ambil keputusan tidak menerangkan apa-apa kepada mereka yang tidak mahu memahami saya.

“Ini adalah proses kehidupan. Cuma apa yang boleh dikatakan, saya impikan kehidupan lebih baik setiap hari,” katanya ketika ditemui Pose baru-baru ini.

Tambah penyanyi berusia 35 tahun itu lagi, dia juga memilih untuk tidak menghiraukan pandangan dan pendapat orang ramai kerana mahu menjadi dirinya sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

“Dahulu, saya sangat mementingkan jiwa dan hati orang. Sekarang, saya akan melakukan apa yang saya terfikir nak buat. Baik buruk biarlah saya sendiri yang menanggungnya.

“Jika boleh terima, alhamdulillah. Kalau tak boleh terima, tak mengapa kerana saya tidak ada apa-apa masalah, tetapi inilah diri saya,” katanya.

Jauh di sudut hati, Elyana bagaimanapun tetap berterima kasih kepada mereka yang mendoakan kebaikan untuk dirinya selama ini.

“Jika masih ada yang mendoakan, saya berharap doa itu berbalik kepada anda.

“Kalau rasa doa anda tidak layak untuk saya, saya tetap berdoa agar urusan kalian dipermudahkan Allah SWT.

“Biarpun anda tidak rasa apa yang saya lalui. Saya doakan yang baik-baik untuk semua,” jelasnya.

Lumrah bagi kehidupannya sebagai seorang selebriti, segala tindak-tanduk yang dilakukan pasti menjadi perhatian masyarakat lebih-lebih lagi jika membabitkan isu sensitif.

Maka secara tidak langsung, pelbagai kritikan dan kata-kata pedas oleh netizen dilontarkan terhadap Elyana.

Ibarat sudah bebas kaanser, tudung pun ‘terbang’.

Demikian antara secebis kata-kata sinis oleh segelintir masyarakat ketika meninggalkan komen mengkritik tindakan Elyana yang pantas memilih tampil membuka tudungnya tidak sampai setahun selepas pulih kanser.

Selain ditempelak isu tersebut, netizen turut mengungkit perjalanan kisah perjuangan Elyana melawan kanser selama 10 tahun sehingga ada yang menuduhnya menjaja kisah sedih demi meraih simpati ramai.

Tatkala derita yang ditanggung berakhir dengan khabar gembira selepas disahkan bebas daripada kaanser, timbul cakap-cakap netizen menuduhnya seolah-olah lupa pada Tuhan dan doa-doa peminat yang mendoakan kesembuhannya dalam media sosial.

Bagaimanapun, Elyana tiada pilihan selain membutakan mata dan memekakkan telinga daripada mendengar serta membaca cemuhan netizen menerusi media sosial

Mahu tidak mahu, medium tersebut masih menjadi platform untuknya berkongsi dan mencari rezeki.

“Kalau ada pilihan lain dan pekerjaan saya tidak melibatkan penggunaan media sosial, hal tersebut lebih membahagiakan.

“Tetapi pekerjaan saya perlukan platform media sosial. Jadi nak tak nak, saya perlukannya. Cuma mungkin saya tidak terlalu terbuka seperti dahulu. Saya akan letak batas dan jarak seperti menutup ruangan komen,” jelasnya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Kosmo! Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)