Penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu, 50, menyifatkan persiapannya untuk menjayakan fotografi 'pre-wedding' di Avani Sepang Resort, esok tajaan Magica, umpama persediaan pernikahan kali pertama kerana tidak pernah melaluinya ketika perkahwinan yang lalu.
Mas Idayu atau nama sebenarnya Masidayu Mesnun, berkata, dia amat tidak menyangka pada usianya sekarang, dia berpeluang menikmati kehidupan yang lebih-lebih bahagia daripada perkahwinan pertamanya dulu.
"Sebabnya, saya dapat rasakan yang ini (perkahwinan kedua) seperti saya tidak pernah merasakannya selama 15, 16 tahun yang lalu. Jadi, saya rasa 'pre-wedding ini dulu-dulu pun tak pernah ada, persandingan dulu pun tak pernah ada.
"Jadi, sekarang ini adalah saya rasa seperti perkahwinan pertama saya yang tak pernah berlaku setelah 15, 16 tahun yang lampau," katanya ditemui pada majlis sidang media pengumuman perkahwinan dan pelancaran produk penjagaan kulit Twenty semalam.
Mas Idayu yang mengumumkan tarikh pernikahannya bersama lelaki pilihan juga Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, pada 16 September ini, turut mendapat tajaan perkahwinan bernilai RM7 juta daripada pelbagai pihak merangkumi lokasi, katering, busana dan aksesori.
Majlis pernikahan itu juga bakal diadakan di Magica Quill City, Kuala Lumpur, jam 9 pagi dan pada sebelah malam pula akan diadakan majlis resepsi dengan tema 'fairy tale' dengan tetamu jemputan seramai 320 orang.
Ditanya juga mengenai destinasi bulan madu, penyanyi lagu Robek Hatiku ini memaklumkan dia dan bakal suami merancang percutian ke Santorini, Greece, selama dua minggu selepas majlis perkahwinan itu selesai.
Terdahulu, Mas Idayu dan Muhammad Sufian saling mengenali sejak program Mentor 3 pada 2008 lalu dan baru menjalin hubungan serius pada tahun ini.
Sebelum ini, Mas Idayu sudah 'diikat' Sufian dalam majlis menghantar tanda, di rumah keluarganya di Kota Tinggi, Johor, pada Mei lalu.
Mas Idayu yang mesra dengan panggilan 'mommy' pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro