Pedulikan bisikan ‘puaka’, Ifa Raziah kebal, tak tunduk dengan ancaman

encik gotenks
0

TEMPOH 27 tahun bergelumang dalam industri seni hiburan cukup meneguhkan jiwa penyanyi yang juga pengacara sensasi, Ifa Raziah untuk kalis kebencian umum.

Dia tidak goyah biarpun di kiri kanannya ada sahaja yang mahu menerjang.

Melalui pelbagai pengalaman jatuh bangun dalam industri, hari ini selebriti berusia 47 tahun itu ibaratnya kebal tak tunduk dengan ancaman.

Belum terfikir untuk meletakkan titik noktah dalam kerjaya seninya, kata Ifa, dia tidak akan berhenti daripada terus menjadi seorang penghibur.

Dia yakin dengan bakat dan minat mendalamnya yang tidak pernah luntur.

“Pada saya semakin tinggi pokok, semakin kuat angin menggoncang, jadi kenapa saya harus mengalah?

“Jika ada bakat dan minat, kemudian dicurahkan dengan sepenuh hati dalam kerjaya, pasti akan berjaya.

“Pedulikan bisikan ‘puaka’. Apa yang penting akhirnya kita di mana? Saya sentiasa berserah kepada Allah SWT, namun tidak sekali-kali pernah ada perkataan mengalah,” katanya kepada HibGlam.

Penghibur

Berbicara tentang kecaman, pemilik nama lengkap Saripah Raziah Mustapha itu sudah lali dengan segala perkara negatif yang selalu melekat pada namanya.

Ada sahaja topik yang dibangkitkan netizen bagi mencari kesalahannya sebagai seorang pendangdut sepertinya.

Netizen pula seolah-olah melihat statusnya sebagai penyanyi dangdut yang tidak boleh lari daripada bergelek ketika persembahan sebagai kesalahan yang perlu diberikan hukuman.

Jarang berdiam diri, setiap isu yang dibangkitkan pasti dipertahankan Ifa.

Namun, biarpun ‘berbuih mulutnya’ memberi penjelasan kepada netizen, namun cacian dan kecaman tidak mudah reda.

Kata Ifa, sebagai penghibur, pendangdut khususnya, itulah cara dia bekerja dan mencari makan.

“Memang selama ini orang bayar saya untuk buat persembahan. Kenapa selama ini tidak ada sesiapa yang mempertikaikannya?

“Orang bukan suka-suka bayar kalau saya tidak boleh menjadi pengacara atau penghibur di sesebuah majlis.

“Pekerjaan ini yang saya buat sejak 27 tahun lalu.

“Kalau tidak, pihak stesen TV3 tidak akan bayar saya untuk jadi pengacara rancangan Wanita Hari Ini selama tiga tahun dan menjadi pengacara Jom Singgah selama lima tahun,” tegas Ifa menjelaskan kritikan netizen berhubung sebuah video tular memaparkan aksinya bergelek dalam sebuah majlis aqiqah baru-baru ini.

‘Menyalak’

Dalam pada itu, Ifa mengakui sepatutnya dia tidak perlu bersusah payah menerangkan sesuatu isu bagi memuaskan hati khalayak.

Bagi Ifa, dia bukanlah melakukan kesalahan besar yang boleh dianggap sebagai penjenayah. Dia juga sedar, golongan pembencinya hanyalah bersifat minoriti.

“Dalam dunia ini ada macam-macam pilihan. Kita tidak perlu hendak puaskan hati semua orang. Mereka yang ‘menyalak’ dalam dunia maya itu mungkin hanya 10 hingga 20 peratus yang tidak suka saya.

“Sementara, 80 atau 90 peratus pula mungkin yang suka kita, tidak tulis apa pun. Dalam hati sentiasa memuji walaupun tidak berbunyi,” tuturnya.

Biarpun selalu menjadi mangsa kecaman orang ramai, Ifa membuktikan dirinya masih lagi mampu berjaya bukan sahaja dalam kerjaya seni, bahkan sebagai seorang usahawan.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Kosmo! Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)