Kolej swasta susah hati, hilang lebih separuh bakal graduan

encik gotenks
0

Penafian : Gambar yang digunakan dalam artikel ini hanya sekadar hiasan semata-mata

Beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ‘kehilangan’ separuh daripada pelajar yang sepatutnya melanjutkan pelajaran di kolej masing-masing pada tahun ini hingga terpaksa melakukan pelbagai perubahan termasuk memberi diskaun dan melanjutkan tempoh kemasukan.

Ada antara IPTS tersebut tidak menyangka dengan situasi itu yang disifatkan sebagai jarang berlaku.

Penolong Rektor Bahagian Perancangan Strategik dan Komunikasi Korporat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Amy Abdul Wahab berkata, biasanya kemasukan pelajar baharu sekitar 2,000 orang, namun ia berkurangan hampir separuh pada sesi pengambilan Julai lalu.

Hampir semua IPTS menghadapi situasi sama. Kami ‘hilang’ hampir separuh pelajar lepasan SPM untuk belajar di KUIS.

“Bagaimanapun, kami tidak menangguh kemasukan apabila 1,000 pelajar baharu telah pun memulakan pengajian. Pengambilan kedua pula dijangka dilakukan pada November depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurut Amy, antara punca perkara itu berlaku berkemungkinan berkaitan dengan laporan 70 peratus lepasan SPM tidak berminat untuk menyambung pengajian.

Tambahnya, persepsi belajar tinggi tetapi sukar dapat kerja dan gaji setimpal kurang tepat kerana kajian pihaknya mendapati hampir 85 peratus graduan KUIS dapat kerja, manakala bakinya memilih untuk jadi suri rumah atau menceburi perniagaan online.

Di Shah Alam, pihak pengurusan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) terkejut apabila tawaran diskaun 50 peratus untuk program ijazah dan biasiswa penuh yuran pengajian gagal menarik hati lepasan SPM.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Abdullah Saad A. Alarefi berkata, setakat ini hanya 20 pe­ratus daripada 2,200 kuota pelajar Malaysia memohon untuk belajar di situ.

“Lepasan SPM masih di bawah paras 200 untuk sesi kemasukan September walaupun telah kuota diperuntukkan untuk 1,000 orang.

“Kita mahu lepasan SPM menjadi sebahagian warga pelajar MEDIU. Ini sebagai lambang kerjasama pendidikan dan hubungan erat Arab Saudi dan Malaysia,” katanya.

Di Kuala Terengganu, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof Dr. Fadzli Adam berkata, mereka turut kehilangan hampir separuh pelajar apabila mereka tidak tampil walaupun telah ditawarkan untuk program asasi dan diploma untuk sesi kemasukan pertama.

Katanya, daripada 1,600 yang ditawarkan, hanya 814 sahaja yang tampil mendaftar.

“Kami yakin kekosongan itu akan diisi menerusi kemasukan kedua tidak lama lagi, manakala keputusan rayuan diketahui pada minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, kekurangan kemasukan pelajar ke situ tidak begitu ketara.

“Hampir semua 300 lepasan SPM yang ditawarkan telah mendaftar masuk bagi program asasi pada awal bulan ini,” katanya.

Di Kangar, Kolej Universiti Islam Perlis mencatatkan penurunan 400 permohonan berbanding sebelum ini.

Rektornya, Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle berkata, kebiasaannya institusi pengajian tinggi itu menyasarkan 1,500 permohonan bagi mengisi 844 tempat bagi 14 program diploma dalam pelbagai bidang.

“Hanya 1,100 yang membuat permohonan dan sukar untuk membuat penambahan kerana mungkin ada calon yang berdepan dengan masalah kewangan selepas pandemiik C0vid-19 dan trend pelajar SPM mahu terus bekerja dan ragu-ragu untuk sambung belajar,” katanya.

Menurut Rozaimi, pihaknya akan mengadakan dua sesi pengambilan pada bulan depan selain mengadakan wacana kesedaran bagi mengatasi masalah itu.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Kosmo! Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)