Kementerian Pertanian (Kementan) Indonesia meminta rakyat bersiap sedia dengan kemungkinan harga mi segera yang dijangka naik tiga kali ganda dalam waktu terdekat.
Portal Kompas melaporkan, Kementan berkata, ia disebabkan kenaikan harga gandum dunia,.
"Meskipun begitu, kerajaan tetap akan terus memantau dan mengambil langkah pencegahan sehingga isu makanan nasional tetap terjaga," kata Ketua Biro Perhubungan Awam Kementan Kuntoro Boga Andri dalam kenyataan rasminya pada Khamis lalu.
"Potensi bahan makanan lazim yang naik harga berkali-kali ganda tentunya perlu dipantau kerana ia sangat merugikan masyarakat," katanya.
Tambahnya, kerajaan wajib mengingatkan masyarakat dan juga pemain industri makanan terhadap potensi krisis (makanan).
Meskipun begitu, Kementan memaklumkan keadaan di Indonesia masih terkawal dan harga relatif stabil.
"Dalam pada itu, kerajaan terus mengambil beberapa langkah untuk mengelak Indonesia daripada kemungkinan berlakunya kekurangan makanan.
"Salah satu langkah yang dilakukan adalah menggantikan keperluan bahan makanan import dengan tempatan.
"Bagi keperluan industri makanan berasaskan gandum, kerajaan mula menggalakkan penanaman biji-bijian yang dapat menggantikan gandum.
"Kementan juga memperkukuh dan menyediakan makanan tempatan sebagai alternatif, seperti ubi kayu dan kentang.
"Gandum dapat digantikan biji-bijian yang sangat sesuai dikembangkan di sini.
"Makanan tempatan dapat menyelamatkan kita daripada krisis makanan. Biji-bijian salah satunya," jelas Kuntoro.
Terdahulu, Menteri Pertanian Syahrul Yasin Limpo mengingatkan adanya kemungkinan kenaikan harga mi segera di pasaran sehingga tiga kali ganda dalam waktu terdekat berpunca daripada gangguan import gandum dari Rusia dan Ukraine.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro