Tidak sesekali berhenti melakukan kebaikan, biarpun tindakan penyanyi Kalis Rindu, Elyana, 35, menanggalkan hijab menimbulkan persepsi buruk terhadapnya.
Enggan menangis, sekali gus dituduh sengaja mencari simpati, Elyana yang disahkan bebas kanser limfoma pada Disember lalu memilih mengunci mulut berhubung isu tidak berhijab.
Sebelum bertindak, sudah tentu Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal sudah memikirkan tindak-tanduknya bakal mengundang kecaman netizen.
Enggan kenyataannya dimanupulasi, Elyana memilih tidak bersuara. Namun, apa yang dipamerkan, itulah dirinya hari ini.
Tampil kali pertama tidak berhijab selepas tiga hari memuat naik gambar tidak mengenakan tudung di laman Instagram, baru-baru ini.
"Dalam hidup, tidak pernah terbit penyesalan kerana ini adalah proses kehidupan. Cuma, apa yang boleh saya katakan, saya impikan kehidupan baik untuk jiwa, setiap hari.
"Saya tentunya berfikir secara mendalam. Tetapi, saya tak mahu komen sebab kenyataan saya boleh dimanipulasi. Jadi, lebih baik saya tidak cakap apa-apa. Apa yang boleh saya katakan, inilah saya.
"Saya lihat netizen mudah sangat berkata-kata. Jujurnya, saya suka berkawan dengan peminat, seronok apabila ada orang nak bergambar.
"Sebab saya merasakan itu adalah salah satu tanda kasih sayang saya pada peminat, tetapi ada kalanya, kebaikan tidak dibalas dengan kebaikan," katanya kepada BH Online.
Elyana berkata, dia perlu meletakkan sempadan seperti menutup komen, namun, ia bukan bermakna dirinya takut atau kalah.
Mengulas adakah terguris dengan komen dilemparkan netizen, Elyana berkata, itu salah satu perkara yang amat menyedihkannya.
"Tetapi, tidak mengapa, semuanya tak boleh dipaksa. Insya-Allah, jika tertulis, saya menjadi apa yang netizen harapkan, ia akan terjadi juga. Buat masa ini, inilah saya.
"Fokus saya untuk menjaga jiwa. Jujurnya, jiwa saya sangat rosak, tetapi saya tidak mahu menyalahkan siapa sebab kita semua manusia biasa. "Saya tidak mahu menangis kerana pasti ada beranggapan saya meminta simpati. Sekarang, saya fokus pada jiwa dan keluarga. Sudah menjadi adat, ketika senang semua orang akan datang, tetapi apabila susah, hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu.
"Jadi, itu sahajalah fokus saya. Ini juga tidak bermakna saya akan berhenti berbuat baik, saya tetap akan berbuat baik sesama manusia," katanya ketika ditemui menjayakan program Semarak Uniti Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, baru-baru ini.
Mengenai tahap kesihatannya, Elyana berkata, dia masih menjalani rawatan kemoterapi seperti biasa.
"Jika ada menganggap disebabkan sudah sihat, jadi, saya lupa diri, itu tekaan silap.
"Sebenarnya, kehidupan saya sama sahaja. Sekarang, saya ada beberapa sesi kemoterapi yang belum habis. Selepas habis, barulah saya berbincang dengan doktor untuk meneruskan rawatan lain.
"Perasaan saya tidaklah gembira atau lega selepas disahkan bebas knser. Saya tahu kaanser boleh datang semula pada bila-bila masa.
"Cuma, saya rasa gembira apa yang saya dengar dari doktor disebabkan sudah lama memperjuangkan knser.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Berita Harian