Cakna dengan beban guru dalam tugasan, KPM bakal perkenal Sistem Rekod Markah Berpusat

encik gotenks
0

Pembangunan sistem pelaporan berpusat bagi tujuan merekod markah pentaksiran pelajar sekolah merupakan antara elemen transformasi pendidikan yang bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Selain mengurangkan beban guru bagi mengelak tugas merekod markah berulang kali, sistem itu turut bertujuan meningkatkan kecekapan sistem KPM agar relevan dengan transformasi digital pada masa ini.

Beliau berkata ketika ini, seseorang guru itu dikehendaki menyalurkan rekod markah pelajar kepada pelbagai pihak termasuk KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Dengan adanya sistem pelaporan berpusat ini, pihak lain yang mahukan rekod markah boleh ‘mengekstrak’ data daripadanya. Begitu juga dengan pembinaan jadual waktu sekolah, difahamkan masih ada sekolah yang buat secara manual.

“Jadi KPM akan mewujudkan satu sistem khusus bagi membolehkan pihak sekolah membina jadual waktu sekolah mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Showcase Transformasi Pendidikan yang berlangsung sejak 12 Ogos sehingga hari ini di pusat beli-belah Alamanda, di sini.

Menurut Radzi, KPM komited dalam menjadikan ekosistem pendidikan negara sebagai yang terbaik selain memberikan fokus utama kepada kemenjadian murid secara menyeluruh tanpa bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

“Contohnya, baru-baru ini bekerjasama dengan FGV Holdings Berhad dengan membawa pelajar mendekati flora dan fauna agar mereka faham tentang perubahan iklim dan sebagainya,” katanya dan menambah transformasi pendidikan kementerian meliputi kerjasama rentas agensi kerajaan dan swasta.

Bagi mendekati masyarakat terutamanya golongan ibu bapa agar mereka faham tentang transformasi pendidikan dan dasar KPM, Radzi berkata KPM juga akan mengadakan Hari Terbuka PPD di 142 lokasi seluruh negara pada 26 dan 27 Ogos depan.

Katanya, KPM menerusi sesi perbincangan dan libat urus dengan lebih 20,000 orang termasuk pemimpin masyarakat sehingga kini turut menerima maklum balas positif berkaitan transformasi pendidikan yang giat diaplikasikan.

Antara insiaitif KPM mengorak langkah ke depan transformasi pendidikan meliputi pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi memastikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dapat dilaksanakan dengan berkesan selain menjaga kebajikan guru dengan memudahcara urusan permohonan pertukaran guru.

Showcase Transformasi Pendidikan merupakan satu daripada pengisian KPM di bawah program ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’ yang diadakan bermula 1 Ogos sehingga 30 Sept depan di seluruh negara.

Ia antara lain memaparkan inovasi dan pencapaian murid dan guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan pendidikan.

Seorang Ikon Guru Inovatif Prasekolah Kartigesan M Veloo yang mencipta bahan inovasi Sensory Play Numerics berkata bahan tersebut berfungsi sebagai alat permainan yang boleh digunakan dalam bidang akademik khas untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun dan murid yang mempunyai masalah pembelajaran dalam bidang Matematik.

“Subjek Matematik asas perlu dikuasai sepenuhnya oleh pelajar agar mereka dapat menyelesaikan operasi Matematik lain yang lebih kompleks,” kata guru Sekolah Kebangsaan Olak Lempit, Kuala Langat, Selangor.

Katanya, idea menghasilkan bahan inovasi itu tercetus pada 2017 apabila mendapati ada pelajar prasekolahnya berdepan kesukaran untuk membuat pengiraan mudah dan sehingga kini lebih 500 pelajar telah menerima manfaat melaluinya.

Bahan yang dihasilkan dari kayu, blok dan kadbod tebal itu turut mengandungi litar elektrik iaitu lampu akan berkelip apabila pelajar berjaya menyusun nombor dalam susunan yang betul.

Beliau yang berkecimpung dalam bidang perguruan selama 11 tahun turut berhasrat menambah baik modul tersebut mengikut tahap kemahiran pelajar.

Sementara itu, pelajar Sekolah Seni Malaysia Perak Muhammad Haziq Ziman, 17, berkata penyertaan beliau dalam pertandingan seni International High School Arts Festival Japan memberi pengalaman luas dalam bidang seni halus kerana dapat mengetahui mengenai hasil karya negara lain.

Ia merupakan penyertaan kedua Muhammad Haziq dalam pertandingan itu dan kali ini, beliau menghasilkan lukisan bermotifkan elemen haiwan iaitu Harimau Malaya dan ikan koi yang sinonim dengan Malaysia dan Jepun.

Anak kelahiran Selangor itu berkata beliau mengambil masa dua minggu sahaja untuk menghasilkan karyanya dengan teknik lukisan akrilik dan berhasrat mengembangkan minatnya terhadap bidang seni halus yang diceburi sejak berumur lapan tahun.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Bernama

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)