Bandar Sunway gelisah! Warga asing kini mendunia!

encik gotenks
0

Penafian : gambar yang digunakan hanyalah sekadar hiasan semata-mata

Mereka pada mulanya masuk ke negara ini untuk bekerja namun lama-kelamaan warga asing mula 'melebarkan sayap' dengan menjalankan pelbagai perniagaan khususnya di lokaliti rakan senegara.

Disebabkan undang-undang negara ini yang tidak membenarkan warga asing berniaga sesuka hati, maka ada antara mereka lebih selesa membuka gerai atau menyewa lesen daripada warga tempatan.

Warga tempatan pula juga pada mulanya menggajikan warga asing sebagai pekerja namun mula memberikan ruang kepada mereka untuk berniaga seterusnya membina 'empayar' di Malaysia.

Keadaan ini ternyata memberi kesan negatif dan rasa kurang selesa penduduk seperti di Bandar Sunway, dekat sini, yang kini dikuasai warga asing khususnya dari Bangladesh yang menghuni pangsapuri Lagoon Perdana sejak beberapa tahun lalu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Sazali berkata, warga asing bukan saja menyewa di apartmen berkenaan sejak beberapa tahun lalu, malah ia mewujudkan koloni perniagaan dalam kalangan mereka.

Menurutnya, warga asing mula menjual di gerai kaki lima berhampiran persimpangan masuk ke apartmen berkenaan memandangkan sambutan daripada rakyat negara itu menggalakkan.

"Ada antara warga asing yang berniaga pada waktu petang kerana majoriti penyewa dari Bangladesh akan pulang dari kerja di kilang berhampiran.

"Mereka akan membeli barang keperluan harian di gerai berhampiran sehingga mengundang rasa kurang selesa penduduk setempat," katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi penduduk, Hairul Nizam memaklumkan ada antara warga asing yang mula berniaga dipercayai menggunakan lesen penduduk tempatan.

Katanya, apa yang dibimbangi adalah keadaan ini akan berleluasa sehingga mendatangkan rasa tidak selesa penduduk asal apartmen berkenaan kerana jumlah warga asing yang semakin meningkat.

"Apabila keperluan harian mudah diperoleh, mereka akan lebih selesa menetap di kawasan ini, sekali gus menyebabkan penduduk tidak selesa.

"Penduduk berharap agar tindakan segera dapat diambil pihak berkuasa bagi mengatasi masalah ini daripada berlarutan dan penduduk tempatan tidak berasa terasing di bumi sendiri," katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)