"Saya mohon maaf sekiranya pemakaian saya melukakan hati mana-mana pihak."
Demikian kata penyanyi dangdut, Amelina mengulas komen serta mesej berbaur kecaman daripada netizen mengenai pakaian yang dipakainya ketika membuat persembahan di satu acara bertempat di Kuantan, Pahang, pada Sabtu lalu.
Amelina ketika dihubungi berkata, dia tidak menjangka pakaian itu dianggap mencolok mata oleh sesetengah pihak sedangkan dia sendiri berasakan bahawa ia adalah pakaian yang sesuai dengan acara dan genre lagunya.
"Saya mohon maaf kepada peminat dan kepada mereka yang mengecam. Baju yang saya pakai itu sebenarnya labuh, ditambah pula, saya kenakan dengan kasut but. Tapi, mungkin sewaktu saya bergerak dan berjoget, ada bahagian yang nampak terdedah.
"Saya juga agak 'bloated' (kembung perut) kerana dalam seminggu ini, badan saya tak berapa sihat. Jadi, mungkin disebabkan itu ada bahagian yang nampak menonjol.
"Lagi satu, setiap pakaian yang saya kenakan adalah bersesuaian dengan genre muzik yang saya bawakan selain sesuai dengan acara persembahan pada waktu siang," katanya kepada Harian Metro.
Penyanyi lagu Rindu itu bagaimanapun pasrah dengan setiap yang berlaku kerana dalam dunia media sosial, semuanya tersebar dengan begitu mudah.
"Zaman sekarang kena berhati-hati. Kadang-kadang, bukanlah kita tersalah langkah atau apa sebab kita dah rasa semuanya okay, cumanya, manusia lain akan cuba 'korek' dan mencari kesalahan. Jadi, saya pasrah sahaja sekiranya itu sudah menjadi sikap manusia," katanya.
Menurutnya, dia pernah tampil dengan gaya yang lebih 'simple', namun, dilemparkan pula dengan kata-kata yang menganggapnya sebagai artis selekeh.
"Ketika buat kemunculan semula beberapa tahun lalu, saya pernah dilabel sebagai selekeh. Pada ketika itu, saya menjalani kehidupan sebagai suri rumah tangga sepenuh masa, dan bila masuk semula ke dalam industri, saya memang tampil 'simple'.
"Jadi, apa yang boleh saya katakan, bila bekerja, saya akan tampil dengan penampilan terbaik kerana saya mahu bayaran yang saya terima itu, setimpal dengan penampilan saya.
"Bila di rumah, kita pakai pakaian yang lebih 'simple'. Bila bekerja, kita masuk dalam karakter yang lebih bergaya, tak kisahlah kamu artis atau pun kerja sebagai kerani sekalipun. Semua orang ingin tampil bergaya," katanya.
Komen-komen pedas dilemparkan kepada Amelina di satu akaun pengguna media sosial sekali gus membuatkan namanya menjadi sasaran netizen dan dianggap terlalu seksi.
"Di Instagram dan TikTok saya iaitu @amelinaamirsharipuddin, tak banyak yang kecam sebab kebanyakannya peminat saya. Tapi, bila ada satu individu yang kongsikan di media sosialnya, ruangan komen menjadi tempat netizen menulis kecaman dan komen negatif mengenai saya," katanya.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro