MERAK Jalanan hampir tersembur air yang sedang diminum saat membaca berita ikon permotoran disaman polis.
Belek-belek jugalah mengenai berita mengejutkan itu, adakah pelumba Hafizh Syahrin atau Alex Yoong yang disaman sebab dikatakan tidak mempunyai lesen memandu kenderaan.
Cari punya cari, rupa-rupanya ikon permotoran itulah bukanlah jagoan di mana-mana litar lumba yang diiktiraf. Dia hanyalah individu yang tiba-tiba popular di media sosial dengan kandungan berkaitan permotoran di YouTube.
Dia kemudian diangkat pula oleh seorang timbalan menteri yang mungkin mahu tumpang popular sehingga diberi gelaran ikon permotoran.
Yang pemimpin politik pun satu hal, nak iktiraf biarlah kena tempat dan gelarannya. Bukan boleh main hentam sahaja. Tengoklah latar belakangnya, kejayaan dia, sejauh mana harumkan nama Malaysia dan macam-macam lagi.
Ini tidak, asal popular saja terus diberi gelaran ikon. Sudahnya inilah yang terjadi, ikon permotoran yang dia suruh kita 'sanjung' sendiri Ianggar undang-undang jalan raya.
Tipulah kalau mamat itu tidak tahu peraturan. Budak darjah satu pun tahu nak tunggang motosikal kena ada lesen motosikal, nak pandu kereta kena ada lesen memandu.
Kisah mamat yang kononnya ikon itu adalah satu pengajaran untuk kita semua. Tak kisahlah pak menteri, ibu bapa atau guru-guru, jangan sewenang-wenang beri gelaran dan menyanjung setinggi langit orang tidak sepatutnya. Kenalah berpada-pada dan berpatutan.
Kalau sapa-sapa baca akhbar Merak Jalanan pada Isnin, muka surat belakang sudah diberikan contoh ikon permotoran yang sepatutnya.
Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman mencipta sensasi apabila menyambar podium pada Kejuaraan JuniorGP Dunia di Portugal, sekali gus mengibarkan Jalur Gemilang di sana.
Inilah contoh dan calon ikon permotoran kebanggaan kita!
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro