"Saya bersyukur sangat, akhirnya Allah SWT makbulkan doa saya selama sembilan bulan untuk bertemu anak saya dalam keadaan apa pun dirinya," kata Azmawati Ab Kadir, 55.
Azmawati ialah ibu kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang hilang sejak 29 Oktober tahun lalu, ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Air Biru ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.
Katanya, dia sudah bertolak ke Hospital Pekan, Pahang selepas menerima panggilan daripada polis berhubung penemuan kenderaan milik anaknya, Grand Livina bernombor pendaftaran WWF 3187 pada tengah hari tadi.
"Pada mulanya, ada seorang awam menghubungi saya sebab ingat berita tular di Facebook berhubung kehilangan anak sulung saya. Dia maklumkan nampak kereta arwah dalam sungai. Tidak lama kemudian, saya dapat panggilan daripada polis memaklumkan perkara sama kira-kira jam 1 tengah hari.
"Saya yakin memang itu adalah anak saya, kerana jenis kereta dan nombor pendaftaran sama dengan kereta anak saya.
"Kebetulan salah seorang anggota bomba itu kawan anak, memaklumkan maklumat peribadi termasuk beg kerja, baju kerja dan kad kerja atas nama anak saya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Azmawati, penantiannya bersama keluarga selama sembilan bulan sudah berakhir.
Katanya, dia reda, lega dan bersyukur jasad anak yang hilang sejak Oktober tahun lalu dapat ditemui.
"Saya berdoa setiap malam, supaya Allah SWT temukan kami dalam apa jua keadaan anak. Sebagai orang Islam saya tahu, anak saya milik Allah SWT.
"Walau apa bentuk sekalipun tidak mengapa, Alhamdulillah Allah SWT makbulkan doa saya," katanya yang memaklumkan anaknya sudah lebih sebulan bekerja di Terengganu ditemui selepas kenderaannya kelihatan apabila Sungai Api-api di Nenasi, Pekan, Pahang sedikit surut.
Bercerita lanjut, Azmawati berkata, tepi sungai terbabit sememangnya jalan yang dilalui anaknya setiap kali pulang dari tempat kerja di Terengganu.
Katanya, sejak malam 29 Oktober tahun lalu, anaknya hilang dan tidak dapat dihubungi, dia sekeluarga mencari dan melalui jalan itu.
"Dalam tempoh sebulan selepas kehilangan anak saya, saya sekeluarga ada mencarinya di laluan ini beberapa kali tetapi tidak menemui sebarang petunjuk.
"Banyak kali lalu jalan ini, kerana ini adalah jalan anak untuk pulang dari tempat kerja," katanya yang mempunyai dua anak.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular di media sosial tahun lalu, apabila adiknya memohon orang ramai mengesan abangnya selepas gagal dikesan.
Muhammad Iman Aqmar bergerak dari Pasir Gudang jam 1.30 pagi pada 29 Oktober ke Terengganu dengan memandu kereta miliknya.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro