Segelintir wakil rakyat hanya mahu kayakan diri sendiri saja, kata Tun Mahathir

encik gotenks
0

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad membidas sikap segelintir wakil rakyat yang menggunakan kedudukan untuk mengkayakan diri sendiri.

Dr Mahathir berkata, golongan tersebut hanya mahu menjadi wakil rakyat semata-mata kerana wang, bukannya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, peranan sebenar wakil rakyat diketepikan selepas diberikan mandat dan menang di kawasan ditandingi.

“Sekarang kita dapati ramai yang tak tahu apa tugas wakil rakyat, mereka berpendapat kalau dipilih berhak mengkayakan diri sendiri.

“Dulu wakil rakyat anggap diri mereka sebagai pejuang rakyat, sekarang ada yang berjuang hanya untuk duit,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada program Kenduri Rakyat bersama Tun Mahathir dan kepimpinan Pejuang Kedah di Serambi Chalet, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

Dr Mahathir berkata, ada yang sanggup memberikan sogokan wang kepada rakyat agar kekal berkuasa atau menang dalam pilihan raya.

“Dalam pilihan raya negeri (PRN) di Johor, Pejuang bertanding 42 kerusi, kita telefon penyokong-penyokong minta undilah parti kami.

Apa jawab penyokong ini? Nak bagi berapa? Mereka kira duit saja, kita tak bagi.

“Di Semenyih pun berlaku, pengundi dapat RM200. Mereka bawa kereta ke rumah pengundi, kononnya nak bawa ke pusat mengundi, masuk dalam van bagi duit.

Kalau undi parti itu, tambah lagi RM100. Selesai undi, mereka tunjuk bukti undi parti penyangak ini, dapat duit lagi lah,” katanya lagi.

Menurutnya, ini merupakan perbuatan yang tidak baik diamalkan namun sukar untuk diambil tindakan kerana dilakukan secara tersembunyi.

“Nak dapat maklumat itu susah.

Mereka bijak sembunyikan.

Katanya kerajaan nak buat undang-undang berkenaan dengan rasuah, sampai sekarang tak buat apa pun,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Dr Mahathir menegur sikap orang politik yang mengharapkan dunia politik sebagai sumber kewangan mereka, sebaliknya fungsi sebenar menyertai politik adalah untuk berkhidmat untuk rakyat, negara dan agama.

“Yang berkhidmat untuk rakyat semakin berkurang, mereka asyik cari duit secara halal tak mengapa lah, kadang-kadang dengan rasuah dan sebagainya untuk kayakan diri tanpa peduli nasib rakyat.

Mereka cuma datang jumpa rakyat bila nak adakan PRU,” katanya lagi.

Sehubungan itu, rakyat diingatkan agar memilih kerajaan yang baik dan diyakini dapat memberikan nikmat dalam pembangunan agar negara terus maju.

“Kebolehan rakyat kita tinggi, tak sepatutnya mereka miskin, tapi kita dapati rata-rata orang Melayu miskin dan mula terdedah kepada tekanan.

Bila ia berlaku, ada orang sogok wang supaya pilih mereka sebagai wakil rakyat, kita terpedaya.

“Yang bagi duit itu sudah tentu orang yang tidak baik.

Itu cara mereka sogok duit kepada rakyat, namun kita sudah buktikan PRU14 dapat kalahkan mereka sebab semangat kita lebih tinggi,” katanya.

Dr Mahathir tegaskan, sehubungan itu, Pejuang berhasrat untuk menyelamatkan orang Melayu supaya mendapat nikmat daripada kemerdekaan negara dengan adanya kerajaan yang prihatin dan sentiasa bersedia bekerja untuk rakyat, bukan untuk kepentingan diri.

“Elak terima duit daripada orang politik yang hanya mahukan sokongan undi.

Pejuang tak boleh tawar duit sebab kami tak ada duit banyak, kami hanya berhasrat untuk wujudkan kerajaan yang mampu tawar peluang kerja supaya rakyat tak terus miskin,” ujarnya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Sinar Harian

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)