Pelakon, Azhar Sulaiman dilihat tidak bersetuju dengan penutupan sementara Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) selepas seorang gadis dikatakan menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi terbabit.
Menerusi hantaran di Facebook, Azhar, 51, melemparkan persoalan berhubung penutupan kelab itu selain mengutarakan beberapa pendapat peribadinya.
"Patutkah kelab Stand Up Comedy Crackhouse kena tutup sementara? Kelab di TTDI dah lama wujud dan tak ada isu pun sebelum ini sebab semua yang datang buat persembahan ikut garis panduan yang disediakan.
"Kalau anda nilai balik video masa perempuan itu buka baju, anda boleh dengar suara atau bunyi penonton yang berasa janggal, pelik dan terkejut. Tak ada penonton pun yang suka dan terima persembahan 'sewel' mereka," katanya.
Jelasnya, penonton seakan-akan terkejut melihat lawak jenaka yang ditampilkan gadis itu dan turut menggesa agar pihak kelab dan stesen televisyen lebih peka dalam membuat tapisan terhadap artis jemputan yang akan membuat persembahan.
"Pasangan itu mengejutkan semua yang hadir termasuk pemilik kelab yang tengah makan capati. Crackhouse, stesen televisyen dan semua persembahan secara langsung kena hati-hati dengan persembahan artis jemputan mereka lepas ini sebab takut ada persembahan lagi 'gila' akan muncul dan memeranjatkan kita semua," katanya.
Azhar turut menambah di ruangan komen dengan mengatakan penonton tidak boleh menilai kelab itu jika hanya menonton di media sosial sahaja.
"Kita semua tak pernah pergi sana. Kita nilai dan tentukan berdasarkan apa yang kita baca dan tengok menerusi media sosial. Cukup untuk hukum kelab ini?
"Agaknya kalau ada orang viral pula 'awek-awek' Melayu bertudung menari sakan dan mabuk di disko, adakah disko akan kena tutup juga?," katanya.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro