Pelakon, pengarah filem dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki menyifatkan insiden 'balas-membalas' membabitkannya dengan pelawak, Shahrol Shiro yang hangat di media sosial ketika ini adalah seerangan politik.
Afdlin, 51, dihubungi berkata, selepas mengkaji, beliau mendapati ia bukan saja percanggahan pendapat tetapi lebih menjurus kepada seerangan politik daripada pihak berkenaan.
"Yang 'best' sekarang ini, orang dah tak borak pun pasal wanita itu, tapi mereka kecoh pasal saya pula. Macam saya yang buka baju di kelab itu. Jadi, sebenarnya selepas dikaji, saya nampak ini adalah satu bukan saja percanggahan pendapat tapi adalah seerangan politik.
"Ini berasaskan politik. Bila saya tengok kebanyakan yang 'attaack', semua orang dari pihak berkenaan. Saya bagi pendapat (berkaitan penutupan kelab). Ini pendapat saya yang berasaskan saya adalah seorang pekerja industri komedi. Jadi, saya memandang tentang periuk nasi orang lain," katanya kepada Harian Metro.
Afdlin berkata, beliau juga tidak nafikan isu-isu yang cuba dibawa ke depan oleh Shahrol itu 'valid'. Namun, katanya kehadiran wanita yang membuat onar di kelab itu tidak diundang pun.
"Kena faham, dalam komedi ini ada platform dipanggil 'Open Mic' dan tidak semua orang berani buat. Tapi, ia satu pentas kita membantu orang-orang iaitu pelawak baharu nak cuba ketengahkan bakat mereka. Macam pusat karaoke juga, ada orang 'test power' nak menyanyi.
"Pada saya, itu pendapat saya. Salahnya bukan pada tempat itu, tapi orang yang nak buat persembahan. Ya, kena pantau orang yang nak pentas itu betul, saya setuju. Dan, tak boleh beri orang buat 'content-content' yang hina agama. Itu 100 peratus, saya setuju.
"Tapi, saya punya logik satu saja ialah bukan tempat itu yang bersalah. Tempat itu dinding dan lantai saja yang mana setiap orang boleh buat benda tak senonoh. Jadi, bila orang bercakap tanpa logik, saya nampak betullah ini seerangan politik 100 peratus," katanya lagi.
Menurut Afdlin, beliau dan Shahrol juga adalah sahabat lama yang saling mengenali di pentas komedi. Namun, katanya kini apa yang membezakan mereka adalah fahaman politik masing-masing.
Afdlin berkata Shahrol juga boleh saja menghubunginya untuk nak dapatkan pandangan atau pendirian kerana sudah saling kenal.
"Kepada siapa yang kata saya ada 'syer' (saham) di tempat itu pula, saya tak ada apa-apa pun. Tujuan saya berkongsi pendapat berkenaan tempat itu kerana memikirkan periuk nasi orang lain, pada kalangan pelawak-pelawak baharu.
"Saya dulu pun ada tempat dikenali Comedy Planet iaitu sebuah restoran yang saya sediakan ruang untuk orang berlawak. Tapi, tak pernahlah ada kontroversi begini sebab kita kawal 'content' yang nak dipersembahkan. Jadi, benda ini bukan salah tempat itu, tapi orang yang datang buat onar," katanya.
Menurut Afdlin, beliau bersuara agar kelab itu tidak ditutup walau sementara supaya dapat terus menjadi ruang tempat kepada pelawak-pelawak baharu mengetengahkan bakat mereka.
Katanya, menerusi tempat seperti itulah bakat pelawak baharu seperti Nizam Jentik Jentik, Mat Sabah dapat dicungkil.
Ditanya juga mengenai komen diterima, Afdlin berkata beliau ada juga mendapat ugutan bunuh daripada netizen yang menghantar mesej di media sosialnya. Bagaimanapun, beliau cuba menangani dengan tenang dan akan membuat laporan polis segera demi keselamatan.
Kelmarin, menerusi hantaran di Instagram, Afdlin menyuarakan pendapat peribadinya yang tidak bersetuju penutupan sementara Crackhouse Comedy Club selepas paparan video tular berdurasi 54 saat yang menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu acara komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.
Dalam hantaran itu, Afdlin memaklumkan kelab itu perlu terus beroperasi kerana selama ini menjadi pentas kecil bagi bakat baharu pelawak solo (stand up) beraksi.
Katanya, lagi pula yang membuat kesalahan adalah individu dan bukan tempat itu. Tapi, jika ada kesalahan lain yang tidak kita ketahui biar pihak berkuasa yang menentukan.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro