"Saya buntu memikirkan jalan penyelesaian dua anak yang tidak memiliki pengenalan diri, dalam masa sama terpaksa menjaga anak yang terlantar akibat kemalangan," kata Engku Faridah Engku Man, 45, dari Kampung Tapah, di sini.
Engku Faridah mengakui menghadapi kesukaran mendaftarkan dokumen dua anaknya Dewi Healen Fiona Syarina Rusman, 14, dan Putri Balqis Sabrina Syakila, 17, yang dilahirkan di Toyan, Lombok di Indonesia selepas berpisah dengan bekas suaminya.
Menurutnya, masalah itu timbul selepas dia bercerai dengan suami yang berasal dari negara jiran itu dan kembali ke negara ini pada 2010 lalu tanpa membawa dokumen pengenalan diri anaknya.
"Saya memang berhajat mahu ke Indonesia semula untuk mendapatkan dokumen kelahiran kedua-dua anak saya itu, namun usaha saya terbatas berikutan kekangan kewangan.
"Kedua-dua anak saya itu kini tidak boleh bersekolah berikutan tiada dokumen pengenalan diri," katanya ketika ditemui, hari ini.
Sebelum perkahwinannya dengan lelaki berasal dari Lombok itu, dia mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan pertama dan kini dia memiliki dua lagi cahaya mata hasil perkahwinannya yang ketiga.
Dia kini turut bergelut menjaga anaknya, Wan Muhammad Danial, 20, yang terlantar sejak tiga tahun lalu akibat kemaIangan.
Bercerita lanjut, Engku Faridah berkata, dia tidak mampu menanggung kos ke Indonesia bagi mendapatkan dokumen kelahiran dua anaknya memandangkan suaminya sekarang, Tuan Mohd Tuan Abd Samad, 55, hanya bekerja membawa bot pelancong di Tasik Kenyir, manakala dia pula hanya menjual kuih-muih.
"Saya hanya mampu menghantar kedua-dua anak saya itu belajar di sebuah madrasah selama dua tahun namun terpaksa memberhentikan mereka berikutan masalah kewangan.
"Saya merayu kepada mana-mana pihak yang sudi membantu untuk saya menyelesaikan masalah kedua-dua anak saya itu, terutama untuk mendapatkan kembali dokumen kelahiran mereka di Lombok," katanya.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro