Melayu sebenarnya bukan malas, cuma tidak beria cari haloba dunia, kata Abdul Rahman Mt Dali

encik gotenks
0

SINAR HARIAN: Tahniah Tuan atas kejayaan filem Mat Kilau yang meraih kutipan luar biasa. Pada pandangan Tuan, kenapa filem ini berjaya pikat orang ramai ke panggung wayang sehingga ada yang berulang kali menonton? Apa isyarat jelas daripada penonton?

ABDUL RAHMAN: Saya fikir kenapa filem ini mendapat sambutan yang begitu bagus sekali kerana mesejnya yang padat, sangat bermanfaat dan seterusnya pengarah kita juga yang sangat bagus dan yang terbaik.

Kemudiannya, dari segi pelakon juga telah berjaya untuk melakonkannya dengan sungguh berkesan sekali. Apa yang kita bentangkan itu daripada skrip yang dibuat, mesej, kesedaran dan perasaan ditulis dengan begitu bagus sekali dengan olahan yang sesuai dan telah sampai kepada pemikiran dan hati masyarakat.

Selain itu, ditambah pula dengan musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana masyarakat telah lama duduk di rumah dan ada kemungkinan mereka dahagakan kepada hiburan. Kita pula beri hiburan yang saya namakan hiburan yang bermanfaat daripada segi tema dan konsep.

Apabila ia bermanfaat, maka lebih menggamit seramai mungkin penonton tanpa rasa segan silu dan ada juga golongan agamawan yang menonton. Golongan yang berusia pun ramai yang pergi menonton. Segala kombinasi faktor ini yang menjadikan filem ini begitu mendapat sambutan yang luar biasa.

Nama Tuan mula dikenali dan melonjak naik kerana keberanian menerbitkan filem patriotik ini. Boleh Tuan kongsikan apa kisah atau perkara yang membuatkan seorang pengarah urusan hospital mahu menerbitkan filem sebegini? Kenapa tidak hasilkan filem berbentuk kedoktoran? Apa sebenarnya yang terbuku di hati Tuan?

Kalau pasal cerita doktor sahaja mungkin sekali dua dah habis. Pertamanya saya fikir, kita nak membawa satu konsep iaitu hiburan yang bermanfaat. Saya fikir ramai lagi yang tidak menonton filem.

Saya difahamkan lima hingga 10 peratus pasaran orang yang melihat filem ini. Jadi, kenapa perkara itu berlaku menjadi satu tanda soal.

Apabila kita melihat keperluan untuk berhibur dan berhibur pula dapat memberikan manfaat dan rasa semangat, maka kita perlu pergi ke sasaran sedemikian.

Keperluan sebagai fitrah seorang manusia, kita hiburkan dan sajikan dengan bahan-bahan kandungan yang memberi manfaat dan mengangkat semangat yang melonjakkan semangat mereka supaya menjadi lebih bagus dan bermotivasi menyumbang kepada tanah air dan sebagainya.

Bukan mudah untuk mencapai kejayaan luar biasa kerana Tuan telah melakukan dua kali percubaan bagi menerbitkan filem ini. Boleh Tuan kongsikan apa yang berlaku sebelum ini? Memang berbekalkan hajat yang saya jelaskan, kita cuba buat kali pertama tanpa memahami sangat dunia disiplin dan kaedah membuat filem. Apabila kita cuba tetapi kita dapati hasilnya tidak cukup bagus untuk ditayangkan kepada penonton, jadi kita cuba kali kedua dengan penambahbaikan dan kru yang lebih baik daripada sebelumnya. Tetapi kita dapati juga walaupun skrip bagus, aksi bagus tetapi dari segi kaedah untuk menarik penonton seperti suntingan dan sebagainya tidak sampai kepada hajat yang saya mahu. Jadi, sebab itu kali ketiga kita berjumpa dengan saudara Syamsul Yusof, berbincang dan menceritakan kenapa saya buat, keperluan dan kewajipan untuk filem ini. Ia untuk mengisi keperluan naluri kita sebagai manusia.

‌Shamsul juga sebagai seorang yang terbaik untuk berkarya daripada inspirasi dan perasaan. Keprihatinan kita kepada menghibur dengan perkara yang baik, maka berjaya menterjemahkan ia dalam bentuk karya. Akhirnya, lahir hasil yang cukup sesuai, padat ramuan untuk diterima dengan baik oleh masyarakat.

Seandainya filem ini tidak mendapat sambutan, adakah Tuan menyesal membelanjakan modal sebanyak RM8 juta untuk membuat filem dakwah patriotik dan kenapa Tuan sanggup menghabiskan duit untuk benda yang belum pasti balik modal?

Memang sebelum saya buat ada beberapa pihak yang mengingatkan saya bahawa filem epik sukar untuk dijual selain harganya mahal.

Rekod menunjukkan biasanya tak berjayalah. Tetapi, saya yakin isi, penulis skrip dan jalan cerita yang bagus, kalau dikarya dengan betul akan menjadi yang terbaik.

Saya juga percaya kepada orang kita yang boleh menukar ancaman kerugian kepada peluang. Saya juga seorang yang suka lebih percaya dan positif dalam semua perkara.

Apabila nak buat filem ini, kita buat dengan usaha dan akhirnya berjaya. Saya tidak terfikir rasa takut untuk rugi kerana ia datang dengan keyakinan.

Saya juga percaya tentang kemampuan manusia selain ALLAH beri akal yang mana kita boleh menterjemahkan dalam bentuk yang menarik. Saya juga fikir dengan niat yang bagus dan ALLAH akan tolong, tidak perlu toleh kebelakang lagi.

Filem ini sudah meraih keuntungan selepas ditolak cukai hiburan sebanyak 25 peratus oleh kerajaan dan caj 50 peratus dikenakan pawagam. Berapa anggaran jumlah bonus yang akan diberikan barisan pelakon dan krew? Berapa ramai individu terlibat dan adakah bonus itu dalam bentuk wang tunai atau insentif lain seperti tajaan umrah atau lain-lain?

Biarlah kita muktamadkan kutipan yang kita akan dapat nanti. Dari situ paling sesuai untuk kita tentukan apakah ganjaran yang sesuai.

Sekarang ini terlampau awal lagi, biar kita habis tayangan dan kita lihat hasil yang diperoleh. Kita akan bagi imbuhan yang munasabah.

Menarik juga dan saya ada fikir juga pakej umrah untuk diberikan nanti kepada orang tertentu. Ia imbuhan yang bermanfaat dan umrah itu ada difikirkan.

Difahamkan akan ada sekuel kepada filem Mat Kilau. Ia akan menjadi filem sokongan sebelum Mat Kilau 2. Penonton sudah tidak sabar dan tertanya-tanya, berapa lama mereka perlu menunggu untuk dua filem ini ditayangkan dan adakah tema kebangkitan pahlawan itu masih dikekalkan serta apa kelainan yang akan diberikan?

Ada sekuel. Sebelum kita tayangkan Mat Kilau pertama ini, kita memang tahu dan faham bahawa perjuangan Mat Kilau ini sangat panjang dan banyak kisahnya. Ia juga satu simbol seorang hero yang begitu menarik dalam banyak aspek.

Malah, sehingga kesudahannya, British tidak dapat kesan Mat Kilau walaupun ratusan perisik, tentera dalam kalangan orang Melayu dan penjejak mahir dalam hutan dihantar.

Jadi, panjang ceritanya dan memang kita tidak boleh buat satu. Tetapi, tak boleh buat banyak nanti orang bosan.

Sebelum Mat Kilau 2, kita akan ada satu lagi sekuel yang lain dan akan membantu mengukuhkan kepada Mat Kilau 2 nanti. Itu akan diumumkan kemudian.

Berapa lama peminat Mat Kilau 2 perlu tunggu sekuel seterusnya dan adakah tema kebangkitan pahlawan itu akan dikekalkan.

Pertama kita merancang supaya sampingan sebelum Mat Kilau 2 itu dalam masa setahun akan dikeluarkan kepada penonton. Dalam masa setahun setengah daripada sekarang, kita akan tayangkan pula Mat Kilau 2 yang akan jadi lebih bagus daripada Mat Kilau 1.

Antara karakter hebat dalam filem ini adalah pelakon aksi dari negara seberang iaitu Yayan Ruhian. Adakah Tuan ada berhasrat menayangkan filem ini di Indonesia atau negara lain?

Kalau di serantau ini kita dah tayangkan di Singapura dan Brunei. Insya-ALLAH, 31 Ogos ini akan mula ditayangkan di Indonesia.

Adakah terdapat apa-apa kekangan dan kenapa filem Malaysia tidak banyak dibuat atau dipasarkan ke luar negara?

Secara terus terang, kemungkinan isu keengganan atau rasa berat hati penggiat dan pemain industri untuk melabur dalam pasaran tempatan ini kerana kebimbangan dari segi ekosistem yang kurang memberangsangkan.

Kalau nak buat filem berkualiti, secara kebiasaan memerlukan modal yang besar. Apabila modal yang besar, kita kena pastikan kutipannya besar barulah kita boleh cover kos dan barulah boleh cakap pasal untung.

Sekarang ini ramai yang faham mengenai isu dalam perfileman yang merencatkan atau melembabkan perkembangan ini kerana pemain kecil tidak mampu untuk ceburi kerana struktur cukai kerajaan tempatan kemudian struktur pembahagian dengan panggung menyebabkan mereka fikir panjang.

Kerana demikian juga menyebabkan ia ada kena mengena dengan bagaimana kita mahu menarik bakat baharu. Jika kita tidak mampu melabur untuk membayar pelakon dengan harga yang bagus, maka tak ramai yang akan menceburi diri dalam lakonan.

Jadi, ia satu ekosistem yang berkait rapat. Oleh kerana kualiti yang tidak sampai tahap sepatutnya disebabkan kesanggupan untuk melabur dalam pembikinan filem itu.

Di sebalik kejayaan filem ini, terdapat beberapa maklum balas negatif dari pelbagai pihak termasuk menyifatkan filem ini raasis atau memberi gambaran imej buruk terhadap kaum lain. Adakah Tuan menerima sebarang ancaman jeenayah atau uguutan dan bagaimana Tuan begitu tenang menghadapi kriitikan sebegini?

Pertamanya, kita buat filem ini menggunakan kajian yang munasabah kerana kita bukan buat dokumentari. Sebaliknya, kita berkarya atas fakta-fakta utama.

Dalam kes ini, apa yang saya dengar tentang isu penglibatan kaum Bengali yang menjadi isu. Saya fikir itu hanya diada-adakan oleh pihak tertentu yang sebenarnya tidak mewakili kaum sedemikian. Perkara itu saya tidak ambil kira sangat. Lagipun ini filem dan berdasarkan sejarah betul.

Kalau ikhlas, kita akan tengok bahawa itulah faktanya. Bila kita letak begitu, bukan bermakna kita menghina kaum yang ada di masa ini. Malah, terbukti masyarakat kita ini sangat bertolak ansur dalam dunia ini. Jadi, tidak timbul isu dan mereka tidak pula dilayan sebegitu rupa sehingga melihat filem itu sampai mencetuskan pergaaduhan. Tiada isu rasiis.

Kita mengiktiraf isu kebangsaan dan itu tidak salah jika perkara itu benar dan jika dipaparkan kita kena terimalah perkara itu.

Bagi saya raasis dalam filem ini, berkaitan isu bangsa atau kebangsaan dan itu natural. Saya fikir orang Melayu sangat baik dan orang Malaysia sangat rasional dan tidak suka kepada permuesuhan atau pergaaduhan.

Ramai bukan Melayu di negara ini memuji filem Mat Kilau dan tidak kurang juga ramai anak muda mula tertarik untuk belajar silat. Adakah Tuan juga merupakan seorang pesilat atau pernah terlibat dengan seni mempertahankan diri ini?

Saya belajar juga silat, tetapi tidak begitu jauh dan untuk mempertahankan diri. Bagaimanapun, persilatan ini adalah satu seni yang sangat bagus dan halus. Ia juga dianggap sebagai salah satu seni bela diri yang paling berbahaya. Dalam masa sama, ia menggambarkan satu ketamadunan yang tinggi.

Silat ini bermacam jenis, buah, bunga dan jurus. Ia menggambarkan betapa hebat pemikiran dan kajian orang Melayu zaman dahulu.

Jadi, sewajarnyalah silat ini dimajukan dan dimeriahkan oleh semua orang Melayu khususnya dan masyarakat.

Di Hong Kong misalnya dah ada akademi silat selain beberapa negara lain. Ia sesuatu yang bagus selain ia mengangkat rasa harga diri dan berbangga dengan khazanah yang sangat istimewa.

Tidak ramai bangsa dalam dunia ini yang mempunyai seni bela diri yang sangat kemas dan matang seperti silat. Ia satu kebanggaan yang perlu dipertahankan dan perlu dimajukan lagi.

Seperti filem lain, Mat Kilau juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa rakaman haram. Apakah nasihat Tuan kepada mereka yang terlibat?

Kita telah buat laporan polis dan mereka akan buka kertas siasatan. Kita harap mereka hentikanlah kerana ia akan menyebabkan mereka susah selain denda yang sangat berat.

Jagalah hak intelektual dan jaga industri serta tidak masuk peraangkap yang menyusahkan diri. Setakat ini, kita dah buat empat laporan polis.

Pada pandangan Tuan, bagaimana industri perfileman boleh membantu ekonomi negara dan memberi manfaat kepada rakyat?

Apabila banyak filem dihasilkan, ia memberikan ekosistem ekonomi kepada penggiat seni sendiri. Pelakon, kru dan ramai yang terlibat dalam perfileman akan merangsang ekonomi.

Ia juga membuka ruang pekerjaan dan lagi banyak filem, lagi meriah dan merangsang ekonomi. Itu dari sudut penggiatnya.

Di perspektif luar negara pula, apabila industri perfileman kita maju, ia boleh mengangkat nama negara dan menimbulkan keinginan orang luar untuk mengetahui lebih tentang negara kita sekali gus merangsang pelancongan.

Daripada pelancongan kita dapat hasil yang cukup besar dari segi percukaian dan sebagainya. Ini satu lagi pasaran yang tidak dilihat oleh kerajaan dan dengan prestasi Mat Kilau ini yang mungkin mencecah RM100 juta, ia membuktikan prospek dunia perfileman yang boleh membantu ekonomi kita.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : sinar harian

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)