Kehebatan ustaz TikTok tarik perhatian netizen

encik gotenks
0

Hanya orang muda mengenali orang muda. Barangkali, itulah kelebihan cuba digunakan pendakwah baharu ini yang menjadikan TikTok sebagai pentas dakwah mereka, meskipun menyedari platform itu lebih kepada hiburan semata-mata.

Selain mempunyai corak pemikiran serta jiwa yang sama, mereka ternyata bijak menyampaikan wadah ilmu dengan cara yang lebih santai, tidak membosankan dan mudah untuk diikuti golongan itu.

Ikuti pengalaman Muhammad Zarul Hafiz Zulkifli, Muhammad Syahir Norhisham dan mengenai suka duka mereka 'terjun' ke dunia dakwah di platform media sosial itu.

KISAH 1 - MUHAMMAD ZARUL HAFIZ ZULKIFLI

Klang: "Jujurnya, saya ada persepsi negatif terhadap TikTok sebelum terjebak dengan platform itu pada Jun tahun lalu apabila memuat naik video pertama berkaitan kisah Palestin dan Israel.

"Alhamdulillah, perkongsian itu mendapat sambutan baik jadi ia mendorong saya memuat naik video kedua berkaitan kisah dan tanda akhir zaman, bertitik tolak daripada situlah saya terus menggunakan TikTok sebagai medium dakwah," kata Muhammad Zarul Hafiz Zulkifli, 28.

Percubaan Zarul, 28, yang menetap di Rantau Panjang di sini, dengan video dakwah santainya diterima baik di TikTok dan dia sendiri tidak menyangka sudah mengumpul 1.4 juta pengikut.

Lebih membuatkan Zarul bersemangat apabila ramai memberi sokongan kepadanya, malah ada yang terbuka hati memeluk Islam selepas menonton videonya di TikTok.

Menyedari dirinya bukan ahli agama, Zarul lebih cenderung berkongsi ilmu asas agama dipelajarinya di sekolah dan diajar oleh ibunya, Nor Azizah Othman, 54, yang juga seorang ustazah.

Bagi memastikan perkongsiannya tidak terpesong, Zarul juga akan berpandukan kepada hadis sahih selain merujuk video ceramah pendakwah popular seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Wadi Anuar dan Ustaz Abdul Somad (UAS).

"Saya memang berhati-hati sebelum memuat naik video di TikTok kerana ia membabitkan soal agama malah enggan perkongsian mengelirukan atau disalah erti yang menonton jadi kongsi yang asas saja misalnya sunnah nabi.

"Setakat ini, ramai beri komen positif namun ada juga mengecam cuma sedikit saja dan itu pun selepas saya memuat naik satu video sahur berkaitan hukum minum ketika azan Subuh.

"Silap saya ketika itu adalah memuat naik dua bahagian video hingga ada yang keliru tetapi saya terima dengan hati terbuka teguran daripada pengikut malah kesilapan itu memberi pengajaran untuk saya lebih berhati-hati," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Zarul, selagi diterima, dia mahu terus berdakwah di TikTok bukan untuk mengumpul pengikut atau mengejar populariti, namun melaksanakan tanggungjawabnya bagi menyampaikan ajaran Islam.

"Buat masa ini, saya belum ada perancangan untuk sambung belajar kerana sudah ada komitmen kerja, jadi masa terluang akan saya gunakan untuk berkongsi video perihal ajaran Islam di TikTok dengan cara serta identiti sendiri.

"Bagi saya, kita tidak perlu menunggu bergelar ustaz untuk berdakwah kerana Rasulullah ada bersabda 'Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat'," katanya yang juga pemegang Diploma Seni Bina lulusan Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

KISAH 2 - MUHAMMAD SYAHIR MOHD NORHISHAM

Ipoh: Jika diikutkan, perkongsian ilmu agama di media soisal ini bukan amalan lazim bagi bekas pelajar sekolah pondok seperti Muhammad Syahir Mohd Norhisham, apatah lagi di platform TikTok yang cenderung kepada perkongsian berbentuk hiburan.

Namun, dia menyedari platform media sosial itu cukup besar pengaruhnya terhadap golongan muda yang sudah semakin meninggalkan Facebook dan Twitter.

Ternyata, percubaannya berdakwah di platform 'kegilaan' anak muda itu tidak sia-sia apabila mengumpul lebih 533,000 pengikut di TikTok, hanya dengan memuat naik video dakwah secara konsisten.

Muhammad Syahir berkata, dia mula berkongsi ilmu agama di di laman sosial itu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kira-kira dua tahun yang lalu.

Menurutnya, pengalaman ketika mengikuti kelas usul dakwah di madrasah pondok banyak mengajarnya untuk tampil yakin ketika bercakap di khalayak ramai, mahupun di hadapan lensa kamera.

"Cuma di TikTok atau IG agak lain kerana bukan semua boleh terima apa kita cuba sampaikan.

"Jadi saya perlu bijak dengan berlembut jika perlu dan ada masanya bertegas terutama jika membabitkan soal akidah. Apapun, saya gunakan cara yang santai supaya mudah diterima," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Syahir berkata, ketika berdakwah, dia juga mengambil sikap berhati-hati ketika mengulas sesuatu isu bagi mengelakkan sebarang kontroversi.

Untuk itu, katanya, dia akan cuba merujuk dengan rakan pendakwah lain terlebih dahulu sebelum mengulas sesuatu isu, terutama yang tular di laman sosial bagi mengelak salah faham.

"Setakat ini, penerimaan pengikut agak baik cuma dakwah ibarat melawan arus sungai, maksudnya mesti akan ada yang tidak suka dan benci.

"Itu perkara biasa. Saya cuba cekalkan hati dengan niat dakwah kerana Allah SWT," katanya yang pernah menerima Anugerah Ikon Anak Muda (Influencer) sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Perak kali ke-38 tahun lalu.

KISAH 3 - RAJA MUHAMMAD AL-MAHI RAJA BADROL HISHAM

Serdang: Mulanya, dia langsung tidak terfikir memulakan dakwah di Tiktok, namun segala-galanya berubah apabila melihat sahabatnya yang sama-sama menuntut di sekolah pondok berdakwah di platform berkenaan.

Raja Muhammad Al-Mahi Raja Badrol Hisham berkata, dia tidak menyangka sahabatnya itu memilih berdakwah di TikTok, malah pendekatan dakwahnya yang santai mendapatkan sambutan yang cukup bagus.

"Selepas itu, saya juga cuba ikut sama berkongsi ilmu di platform itu seiring dengan trend masa kini, malah sejak awal lagi saya sudah tetapkan niat untuk berdakwah kepada semua golongan.

"Saya tidak kisah jika ada yang menggelar saya Ustaz TikTok sekalipun, asalkan dakwahnya sampai kepada semua golongan," katanya.

Bercerita lanjut, Raja Muhammad Al-Mahi berkata, di TikTok, dia banyak memuat naik video penjelasan mengenai hukum, lazimnya berkaitan isu semasa atau yang sedang tular di laman sosial.

"Pendekatan saya adalah berdakwah secara santai dan tidak terlalu keras. Setiap perkongsian saya sekadar untuk berkongsi ilmu dan tiada niat buat sesiapa terasa.

"Namun saya bersyukur kerana ada antaranya (perkongsian) memberi impak, salah satunya perkongsian teguran saya kepada wanita menggunakan 'filter' (kaedah mengedit gambar) misai yang menyebabkan ada antara mereka memadam video sekalipun tontonan sudah mencecah ratusan ribu," katanya yang mempunyai lebih 340,000 pengikut di TikTok.

Meskipun begitu, Raja Muhammad Al-Mahi sedar tidak semua yang dilakukannya akan diterima baik, justeru dia menerima semua maklum balas daripada pengikut dan netizen dengan berlapang dada.

"Mungkin kritikan itu adalah teguran untuk kita daripada Allah supaya tidak hanyut dengan pujian, namun saya tidak simpan kata-kata negatif dilemparkan dalam hati.

"Cuma, ada masanya saya patah semangat juga tetapi isteri (Nurhidayah Mohamed Azlan) dan keluarga banyak memberi galakan untuk teruskan berdakwah," katanya yang kini semakin banyak menerima undangan sebagai penceramah kuliah di masjid dan surau.

Berkongsi perancangannya, Raja Muhammad Al-Mahi berhasrat memperluaskan konsep dakwah biar sampai dengan menarik penyertaan lebih ramai anak muda.

Jangan sekat orang nak berdakwah'

Kuala Lumpur: "Saya seronok dengan kebanjiran pendakwah baharu, biarkan alam maya (media sosial) ini penuh dengan orang yang menyampaikan agama.

"Kita tak nak media sosial penuh dengan hiburan dan perkara maksiat semata-mata," kata pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.

Ahmad Dusuki berkata, apabila ramai pendakwah baharu bercerita mengenai Islam, sudah pasti media sosial dipenuhi dengan cerita agama dan bukan perkara yang melalaikan dengan aksi joget dan sebagainya.

"Kita mengalu-alukan kehadiran pendakwah baharu ini terutama yang menggunakan pendekatan media sosial dan saya lihat kemunculan mereka ini masih boleh dikawal kerana ramai juga yang datang kepada pendakwah lama, berjumpa ustaz meminta nasihat dalam berdakwah.

"Sebaiknya jangan sekat apabila ada orang yang nak sampaikan agama, biarkan mereka yang nak berdakwah ramai dalam masyarakat kita kerana bila kita sekat, jadi nanti tiada lagi orang mahu bercakap mengenai agama," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan pendakwah baharu ini mengambil ilmu daripada sumber yang betul, belajar dahulu dan pastikan empunya badan mempunyai ilmu kerana sebagai pendakwah, selain menyampaikan dakwah, diri sendiri kena amalkan apa yang disebut.

"Sebenarnya dari sudut kepentingan agama, syukur kerana muncul lebih ramai yang nak berdakwah sampaikan agama Islam, tetapi kita perlukan kesahihan dan ilmu yang betul, jangan sampaikan benda yang salah," katanya.

Ditanya perlukah pendakwah baharu ini mendapatkan sijil atau pentauliahan, beliau berkata, sebenarnya tidak perlu pentauliahan, cuma benda yang disampaikan itu adalah sahih.

"Untuk sampaikan agama tidak perlu sijil yang penting semua disampaikan itu betul kerana ada yang tiada sijil tapi dia dapat daripada sumber tepat dan diiktiraf," katanya.

Mengenai pentauliahan pula, katanya, jika boleh setiap pendakwah tidak perlu disusahkan sehingga memerlukan pentauliahan mengikut setiap negeri.

"Setiap negeri ada tauliah masing-masing, tidakkah itu terlalu 'kejam' untuk pendakwah, walhal kita bertugas menyampaikan agama Allah SWT, sedangkan lesen kereta kita hanya perlukan satu saja untuk ke mana-mana.

"Seperti saya sendiri untuk pendakwah lama terpaksa membawa 14 sijil pentauliahan bagi membolehkan kami berdakwah, berceramah di seluruh Malaysia.

"Sudah tiba masanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengubah syarat ini kerana kita sudah masuk dalam dunia digital, tak akan setiap kali nak berdakwah kami kena bawa 14 keping kad tauliah di poket.

"Kita kena fikirkan macam mana nak pastikan Islam tersebar dengan mudah dan golongan pendakwah ini mesti diiktiraf dan diangkat darjat mereka dalam masyarakat," katanya.

Elak beri pandangan cetus kontroversi: Jakim

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan pempengaruh yang berdakwah di laman sosial supaya berhati-hati dengan mengelak mengeluarkan pandangan boleh mengundang kontroversi dan kegelisahan ummah.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pempengaruh terbabit juga disarankan supaya mendapatkan tauliah sebagai penceramah atau pendakwah daripada Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN).

"Jakim menyedari mutakhir ini ramai pempengaruh yang menjadi pendakwah di laman sosial khususnya TikTok dan Instagram (IG). Secara umumnya, Jakim mengalu-alukan kehadiran mereka bagi merancakkan lagi usaha dakwah khususnya melalui media sosial yang menjadi trend masa kini.

"Dalam kerancakan kita membuat kandungan dakwah atau penyampaian ilmu agama melalui media sosial dan seumpamanya, Jakim nasihatkan supaya kandungan disampaikan berdasarkan sumber yang sahih serta tidak menerapkan unsur bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah," katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Hakimah berkata, masyarakat pula dinasihatkan supaya tidak hanya merujuk kepada satu pihak sahaja jika ada sesuatu isu berbangkit di media sosial.

Sebaliknya, beliau berkata, pihak berkuasa agama seperti Pejabat Mufti, Jabatan Agama Islam Negeri dan agamawan boleh juga dijadikan rujukan sekiranya timbul sebarang kekeliruan terhadap sesuatu permasalahan agama.

"Masyarakat juga hendaklah bijak menilai sesuatu ilmu yang diperoleh di media sosial dengan menapis dan menyelidik terlebih dahulu kesahihannya tanpa menerima secara bulat-bulat begitu sahaja.

"Selaku agensi agama di peringkat Persekutuan, Jakim berharap semua pendakwah dan pempengaruh yang berdakwah di laman sosial supaya dapat terus istiqamah dalam menyampaikan dakwah yang sahih dan bersumberkan kepada al-Quran dan Sunnah serta berpedomankan ulama muktabar," katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)