Walaupun sudah mendirikan rumah tangga hampir tujuh tahun bersama Mohd Izwan Johar, Nabila Huda reda dan menganggap belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.
Nabila berkata, dia juga tidak bercadang untuk melakukan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) sebagai altenatif untuk memiliki zuriat.
"Siapa tak nak anak. Saya memang nak anak lagi. Keisha (hasil perkahwinan pertama) pun dah makin besar. Kalau boleh saya nak anak ramai dan setiap tahun ada zuriat.
"Kami dah usaha tapi belum ada rezeki. Saya dan suami pun ada pergi buat pemeriksaan dan doktor sendiri beritahu kami berdua tiada apa-apa masalah.
"Mungkin Allah lebih tahu bila waktu yang tepat untuk saya dikurniakan anak. Siapa tahu entah-entah tahun depan saya hamil dan bersalin setiap tahun sampai tiada masa berlakon.
"Terus terang saya tak nak buat IVF sebab saya pernah ada pengalaman bersalin. Suami pun tak sarankan sebab katanya rawatan itu amat menyakitkan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk makanan tambahan miliknya, Frutti Tutti di sini, hari ini.
Menurut Nabila, dia sentiasa positif dan menganggap tempoh ini adalah waktu untuk mereka berbulan madu.
"Saya sentiasa positif sebab tak mungkin saya tak boleh hamil. Kalau tak pernah hamil saya fahamlah mungkin ada masalah. Saya dah lahirkan Keisha pun.
"Jadi kita tunggu sajalah. Selagi belum ada rezeki, kami ambil kesempatan ini untuk berbulan madu saja," katanya yang berkahwin dengan Mohd Izwan pada Disember 2015.
Menerusi perkahwinan pertama dengan Zaidy Zailani pada 2008, Nabila dikurniakan anak perempuan, Keisha Laila yang kini berusia 12 tahun.
Bercerita mengenai produk Frutti Tutti yang dikeluarkan pada 2011, Nabila berkata, ia adalah makanan tambahan berasaskan serat epal selain mengandungi nutrien yang sesuai untuk pembersihan tubuh badan dan pengurangan berat badan.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro