Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengetepikan sabitan hukuman penjara 14 bulan terhadap seorang suri rumah atas kesalahan mencuri dua peket Milo bernilai RM74 di sebuah pasar raya di Marang pada 25 Mei lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan berkenaan selepas memanggil pihak pendakwaan dan pembelaan untuk semakan kehakiman yang dijatuhkan terhadap tertuduh, pada 5 Julai lalu oleh Mahkamah Majistret Marang.
Hassan kemudian memutuskan sabitan kes berkenaan diketepikan selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan peguam tertuduh, Datuk Naran Singh serta mengarahkan kes tersebut disebut semula di Mahkamah Majistret Marang pada hari yang sama.
Naran ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya mendapati terdapat beberapa kecacatan dalam prosiding kes itu sebelum ini.
"Pertama, kesalahan lampau yang dikemukakan adalah tidak sah dari segi undang-undang dan kedua, ada ekshibit mereka (pihak pendakwaan) kemukakan tidak seharusnya dikemukakan," katanya di sini pada Selasa.
Sementara itu di Mahkamah Majistret Marang, Suhaini membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan semula kes berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Sejurus pengakuan tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 6 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Selain hukuman kerana mencuuri dua peket Milo, hukuman penjara selama 18 bulan atas dua kesalahan berkaitan penyalahgunaan daadah yang dihadapi tertuduh turut ditangguhkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang suri rumah dipenjarakan oleh Mahkamah Majistret Marang setelah mengaku salah mencuri dua peket Milo pada Mei lalu.
Suhaini yang beralamat di Kampung Kuala Abang, Dungun didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Mei lalu di sebuah pasar raya di Marang.
Tertuduh sebelum ini mempunyai tiga rekod jnayah lampau berkaitan kesalahan sama iaitu dua kes pada tahun 2019 dan satu kes pada tahun lalu.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Sinar Harian