Cicit bimbang apabila dengan tiba-tiba ramai muncul mengaku waris Mat Kilau

encik gotenks
0

Penayangan filem epik sejarah, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan bukan sahaja mencetuskan fenomena sehingga pecah panggung, malah wujud kebimbangan apabila ramai individu tampil mengaku waris pahlawan Melayu Pahang tersebut.

Bercakap kepada Utusan Online, cicit Mat Kilau, Ismail Mat Kahar, 60, berkata, hal ini diceritakan oleh Ketua Kampung Kedondong, Mohd. Rozi Rozuki apabila ramai individu dari Johor, Perak, Selangor dan Pahang menghubunginya sambil menyatakan mereka juga dalam jurai keturunan Mat Kilau.

“Apabila diminta oleh ketua kampung menyatakan salasilah keturunan Mat Kilau, mereka tidak tahu menjelaskan satu persatu, malah, ada nama waris tidak ada dalam jurai keturunan kami.

“Hal ini membimbangkan kerana pihak yang mengambil kesempatan boleh mencemarkan catatan sejarah perjuangan Mat Kilau jika kemungkinan berlaku,” katanya ditemui di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, di sini semalam.

Ismail yang uzur akibat komplikasi tekanan daarah rendah dan kencing manis berkata, dia juga bimbang ada pihak mengambil kesempatan mengutip derma kononnya untuk amal kebajikan waris Mat Kilau atau sebarang tujuan lain yang tidak berkaitan langsung dengan pahlawan Melayu Pahang tersohor itu.

“Saya berdoa dan sambil berharap hal ini tidak akan berlaku dan sudah pun memberitahu waris terdekat di sini supaya berhati-hati sekiranya ada pihak yang datang mengaku sebagai waris Mat Kilau,” katanya.

Berhubung jurai keturunannya dengan Mat Kilau, Ismail menjelaskan, salah seorang anak pahlawan tersebut bernama Omar merupakan bapa kepada ibunya, Minah.

“Jadi saya antara cicit Mat Kilau tetapi, saya insan biasa dan langsung tidak mahu ‘glamor,’ namun, cukuplah menghargai usaha pengarah dan penerbit filem tersebut kerana mengangkat Mat Kilau di persada masyarakat yang kini mula lupa dengan nilai sejarah perjuangan tokoh di tanah air ini,” katanya.

Lantaran itu, kata Ismail, walaupun belum lagi menonton filem tersebut, namun, dia bersetuju dan berbangga dngan penerbitan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof kerana menghidupkan semula cerita sejarah pahlawan itu sekali gus meng­angkat tokoh tersebut serta warisnya yang masih berada di Kampung Kedondong, mukim Pulau Tawar, Pahang dan seluruh negara.

“Apapun saya membaca akhbar dan coretan dalam media sosial menyatakan ada unsur adegan yang tidak menepati sejarah sebenar Mat Kilau yang diselitkan dalam filem berkenaan, namun, sebaliknya saya tetap bersetuju kerana difahamkan sebahagian besar aksi dan watak merupakan gambaran sebenar perjuangan Aki saya dari kaca mata pengarah dan pelakonnya,” katanya.

Jelasnya, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan jelas dapat membangkitkan kesedaran orang Melayu khususnya kala­ngan generasi hari ini tentang semangat perjuangan tokoh pahlawan tersebut sebelum merdeka yang perlu dihayati untuk mencongak kehidupan pada masa akan datang.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Utusan Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)