Penafian : Gambar yang digunakan dalam artikel ini hanya sekadar hiasan
Isu kenaikan harga barang ketika ini akibat inflasi memberi beban tambahan kepada masyarakat malah ada yang perlu 'ikat perut' untuk memastikan perbelanjaan mereka mencukupi.
Inflasi ini bukan saja melanda Malaysia, malah seluruh dunia. Bagaimana mahu mendepaninya, serius atau tidak inflasi ini, adakah semua golongan akan terkesan dengannya?
Untuk mendapatkan gambaran situasi inflasi, ikuti wawancara Pakar Pengurusan Kewangan PROF ADJUNG AHMAD ZAKIE AHMAD SHARIFF bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.
Secara ringkas, apa itu inflasi?
Umumnya, inflasi adalah suatu keadaan kenaikan harga yang berlaku bagi barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu.
Kadar inflasi biasanya diukur melalui pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi perubahan harga item-item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa.
Pemilihan item dalam bakul barangan dan perkhidmatan adalah berasaskan kepada nilai penggunaan yang diperoleh melalui Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang dilaksanakan dua kali dalam tempoh lima tahun.
Spesifikasi bagi setiap item barangan dan perkhidmatan akan dikelaskan kepada setiap kelas perbelanjaan dan kemudian disusun mengikut sub-kumpulan barangan dan perkhidmatan. Sub-kumpulan ini kemudian dikategorikan kepada kumpulan utama.
Ia juga lazimnya mengukur kejatuhan kuasa beli sesuatu matawang dalam masa berkenaan.
Contoh, kalau dulunya RM1 boleh membeli enam biji pisang goreng, tetapi pada Jun ini, RM1 hanya boleh membeli tiga biji pisang goreng yang sama.
Ia menunjukkan penurunan kuasa beli sebanyak 50 peratus.
Itu antara contoh mudah untuk memahami apa itu inflasi dan situasi inflasi.
Bagi masyarakat, apakah kesan paling besar yang dapat dirasai akibat inflasi ini?
Terdapat kesan besar yang dirasai akibat inflasi dan paling utama adalah perubahan kuasa beli yang sebelum ini berbeza dengan situasi ketika inflasi.
Kesan paling ketara ialah perubahan kuasa beli matawang kita, khususnya pada pasaran semasa.
Penurunan kuasa beli ini mengakibatkan kenaikan harga barangan kegunaan semasa, menjadi ia mahal sehingga mungkin sampai tahap tidak mampu untuk membeli barangan berkenaan.
Jika dibandingkan dengan situasi inflasi pada paras biasa, mungkin barangan berkenaan boleh dibeli namun apabila menghadapi inflasi seperti sekarang, kita tidak mampu untuk membeli barang A sebagai contoh.
Ia mengakibatkan rata-rata penurunan kualiti gaya hidup orang awam, terutama kepada golongan B40, malah M40.
Jika menyentuh soal inflasi ini, golongan paling terkesan tentulah B40, waktu sebelum inflasi pun mereka sudah terkesan, apatah lagi ketika inflasi.
Kategori lain yang turut merasa kesan ini adalah M40, walaupun tidak terlalu teruk terkesan seperti B40, namun kesannya masih dapat dirasai.
Pada pandangan Prof, apakah kaedah paling praktikal untuk golongan B40 dan M40 berdepan dengan situasi ini?
Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan atau diambil oleh golongan berkenaan dalam mendepani situasi inflasi.
Pertama, kita perlu buat pengiraan anggaran perbelanjaan bulanan sesebuah keluarga. Ini sangat penting kerana kita boleh berusaha untuk mencapai satu matlamat yang realistik dengan pendapatan kita.
Kedua, kita juga boleh memikirkan kaedah terbaik untuk menambahkan pendapatan rumah tangga secara konsisten serta mengurangkan atau tidak menambah beban hutang baharu supaya perbelanjaan bulanan kita lebih terkawal.
Perbelanjaan juga perlu diutamakan untuk barangan keperluan saja untuk tempoh ini.
Adakah kaedah mencairkan aset adalah pendekatan paling bijak dalam tempoh ini?
Mencairkan aset yang ada harus dijadikan pilihan terakhir, sekiranya kedudukan kewangan tertekan.
Kalau kita lihat untuk aset bolehcair seperti emas, hartanah dan lain-lain, ia adalah sejenis simpanan jangka panjang.
Bagaimanapun, kita harus berusaha terlebih dulu untuk mencari pertambahan pendapatan dengan kaedah yang konsisten.
Kita sering dengar, jika barang A naik jangan beli barang A. Kaedah berkenaan nampak tidak praktikal dan tidak mesra khususnya untuk golongan berpendapatan rendah, pada pandangan Prof, bagaimana cara mengurus keadaan ini?
Ada dua kaedah penyelesaian.
Pertama, kita mengurangkan pembelian barangan yang harganya sudah naik demi menjaga perbelanjaan harian dan mencukupkan bajet kita selama sebulan.
Kedua, menambah pendapatan lain supaya kita masih mampu untuk membeli barangan berkenaan walaupun dalam keadaan harga yang naik.
Saya percaya pada filosofi abundance in life iaitu rezeki ada di mana-mana, cuma perlu usaha kita yang gigih untuk menemuinya.
Saya tidak setuju dengan pendapat takdir telah menentukan rezeki seseorang. Takdir sendiri boleh kita ubah.
Saya yakin secupak boleh kita modalkan untuk kita mencari segantang.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro