"Saya bukan nak balas atau buktikan apa-apa sebab bila dah macam sekarang ini (penampilan), saya ada masa lebih untuk diri sendiri. Jadi saya tak ada masa nak fikir perkara negatif."
Demikian kata isteri pelawak Shuk Sahar iaitu Rossalennah Natassyiah Asshafera yang didakwa tampil kurus selepas kontroversi melanda perkahwinannya sejak tahun lalu.
Rossalennah yang mesra disapa Sera berkata, dia yang berjaya menurunkan berat badan dari 60 kilogram (kg) kepada 49kg juga bukan disebabkan 'makan hati'.
"Sebelum saya ambil produk Berryfull keluaran Inayah Beauty, berat saya 60kg. Kemudian selepas dua bulan berat saya turun 11kg. Jadi sekarang berat saya 49kg. Sekarang ini saya hanya mahu kekalkan berat ini saja.
"Saya nak jaga berat badan sebab sebelum bersalin berat saya 50kg, jadi masa itu badan rasa ringan. Bila turunkan berat badan ini saya rasa lagi bertenaga. Saya turunkan berat badan ini bukanlah sebab makan hati. Kalau nak kata makan hati, perkara itu dah lama jadi mesti saya dah kurus dari dulu lagi," katanya.
Sera ibu kepada dua anak berkata, penampilan yang dimiliki sekarang membuatkan dia berasa lebih yakin.
"Senang saja nak turunkan berat badan sebab sebelum ini orang itu (Shuk Sahar) suka makan malam dan dia akan ajak saya sekali. Itu yang buatkan susah. Bila sekarang ini jadi mudah sebab saya pun tak makan banyak. Kalau makan tu, tak ada dah nak tunggu orang. Saya tak makan malam dan akan tidur terus.
"Saya buat ini juga untuk memberi semula keyakinan kepada diri tapi ia bukanlah untuk membalas deendam. Tipulah kalau saya cakap nak kurus ini bukan disebabkan apa yang terjadi sebelum ini, tapi saya juga nak tunjukkan apabila dia dah tak ada saya boleh sebenarnya untuk buat semua ini. Saya boleh saja nak menjadi macam dulu," katanya.
Dalam masa sama, Sera berkata dia tidak ambil hati dengan komen netizen yang menganggap baru sekarang dia mahu menjaga penampilan selepas apa yang terjadi membabitkan perhubungannya dengan Shuk.
"Kadang-kadang ada ternampak juga komen yang orang kata masa ada suami tak nak jaga badan tapi bila dah jadi macam ini baru nak kurus. Tapi saya memang tak ambil hati pun.
"Bagi saya ia lebih kepada ketenangan. Bila kita tenang kita boleh kawal aktiviti seharian dan boleh atur hidup kita apa yang nak buat. Itu yang lebih penting. Sekarang ini, kalau saya pakai baju apa pun anak saya memang akan cakap saya cantik. Jadi dia tahu perubahan saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sera bersyukur apabila dipilih menjadi wajah Inayah Beauty bersama pelakon Puteri Sarah pada majlis Meet and Greet yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, semalam.
"Sebenarnya saya sudah lapan bulan dengan Inayah Beauty, sebab saya memang gunakan produk ini dan saya dapat maklum balas sendiri. Disebabkan itu saya berani untuk terima tawaran ini," katanya.
Status perkahwinan antara Sera dan Shuk masih menjadi tanya apabila dia enggan mengulas lanjut perkara itu.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua anak iaitu Nur Qurratu Ain, 5, dan Nur Assyifatu Aimi, 2.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro