Baru-baru ini viral satu video di media sosial yang memaparkan situasi tegang yang berlaku antara seorang ibu dengan guru wanita di pejabat sekolah berhubung dakwaan anaknya dipukuI di bahagian muka dengan buku terus meraih perhatian ramai.
Walaupun ramai tidak bersetuju dengan bentuk hukuman yang dikenakan, namun ada juga segelintir netizen yang cuba memahami situasi di pihak guru berkenaan hingga mendorongnya bertindak sedemikian.
Bercakap kepada mStar, ibu berusia 33 tahun itu memberi penjelasan mengenai insiiden membabitkan anak perempuannya yang juga murid darjah tiga di sebuah sekolah di Melaka.
Hanya mahu dikenali sebagai Siti Naila, katanya, insiiden berlaku pagi Rabu lalu hanya diketahuinya pada sebelah malam kerana anaknya pulang dari sekolah dalam keadaan lesu.
"Anak saya tak nak makan, balik terus tidur dan pukuI 10 malam baru bangun . Hari Khamis saya bawa anak saya ke sekolah untuk dapatkan penjelasan, hari ni (Jumaat) anak saya menangis tak nak pergi ke sekolah.
"Tak ada kesan cedera, tapi anak saya alami tekanan. Dia trauma. Sampaikan saya nak pergi sekolah, dia kata jangan pergi sebab cikgu tu garang," katanya ketika dihubungi mStar.
Mengakui insiiden berpunca daripada kegagalan anaknya membawa rekoder ke sekolah untuk ujian amali bagi mata pelajaran Pendidikan Muzik, Siti Naila berkata guru berkenaan seharusnya memahami keadaan murid-murid yang masih kecil.
"Budak-budak kan, baru darjah tiga. Bukan boleh nak ingat semua benda. Kenapa cikgu tu tak ingatkan dalam group WhatsApp kelas?" ujarnya yang berasal dari Cheng, Melaka.
Tambah Siti Naila, kehadirannya ke sekolah pada Khamis adalah untuk bersemuka dengan guru tersebut dan pengetua bagi mendapatkan penjelasan berhubung insiiden yang berlaku.
"Tujuan saya pergi ke sekolah bukan nak bergaduuh, nak dengar guru tu mengaku silap dia. Dalam video tu pun dia mengaku pukuI anak saya termasuk beberapa murid lain.
"Saya sendiri akui silap terkasar bahasa, biasa la orang Melaka kan. Saya tak dapat mengawal perasaan apabila cikgu tu nak menegakkan benang yang basah dan asyik kata anak saya biiadab," katanya.
Pertemuan di pejabat sekolah itu berlangsung selama kurang sejam melibatkan beberapa kakitangan termasuk pengetua dan guru kaunseling.
Tegas ibu kepada empat cahaya mata itu, apa yang cukup dikesalkannya ialah guru tersebut memilih untuk memukul anaknya di bahagian muka.
"Cikgu tu kata nak pukuI tepi kepala tapi bila anak saya pusing kepala dia, jadi terkena muka. Macam mana kalau terkena bahagian telinga? Nanti boleh jejaskan pendengaran anak saya.
"Kalau cikgu tu nak pukuI anak saya sebagai kesedaran atas kesilapan dia, pukuI di tangan atau kaki okay lagi. Tapi tak wajar pukuI di muka atau kepala," ujarnya.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : mStar Online