Tidak kelabu mata, Norhafiza pulangkan kembali RM34,000 kepada pemilik asal

encik gotenks
0

"Saya gembira dapat kembalikan wang lebih RM34,000 kepada pemilik asal," kata Norhafiza Ahmad, 27, yang juga pekerja promosi bagi perkhidmatan kereta kabel SkyCab di Oriental Village di sini.

Norhafiza berkata, dalam kejadian 31 Mei lalu, dia sedang bekerja sebelum secara tidak sengaja menemui beg mengandungi pelbagai mata wang milik pelancong dari Sudan di kerusi menunggu berhampiran kaunter tiket di pusat pelancongan terkenal itu.

"Mulanya, saya nampak pelancong itu bersama isteri dan tiga anaknya datang ke kaunter tiket sambil pegang beg dan tidak lama kemudian mereka duduk berehat di kerusi menunggu berhampiran.

"Selang beberapa minit saya lihat mereka tidak ada lagi di kerusi, namun ternampak beg yang dipegang salah seorang pelancong masih berada di situ, jadi saya yakin dia tertinggal beg berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norhafiza berkata, dia kemudian terus mengambil beg berkenaan sebelum menyerahkannya kepada pihak pengurusan untuk tindakan lanjut termasuk bagi mengesan semula pelancong berkenaan.

Katanya, dia difahamkan terdapat pelbagai mata wang seperti Euro, Riyal Arab Saudi, Lira Turki serta Ringgit Malaysia di dalam beg berkenaan.

"Kejadian pelancong tertinggal barang atau tercicir wang bukan perkara baharu kerana kami sebagai kakitangan SkyCab ada juga menemuinya sebelum ini dan menyerahkannya kepada pihak pengurusan.

"Cuma kejadian kali ini agak mengejutkan kerana jumlahnya banyak, namun saya gembira dan syukur wang berkenaan dapat dipulangkan kepada pemilik asalnya," katanya.

Sementara itu, kejujuran ditunjukkan Norhafiza mendapat penghargaan majikannya, Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi) yang juga anak syarikat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Berikutan itu, Norhafiza yang bekerja di Panorama Langkawi sejak lapan tahun lalu, menerima sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasruddin Abdul Muttalib.

Nasruddin berkata, pihaknya berbangga dengan nilai murni ditunjukkan Norhafiza dan dia layak menerima penghargaan berkenaan.

"Sikap itu boleh mengharumkan nama Langkawi SkyCab, sekali gus menjadikan pulau peranginan ini sebagai destinasi pelancongan selamat dan mesra pengunjung," katanya.

Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)