Terkenang zaman tiada modal pergi uji bakat, saya nasihatkan pelawak baharu jangan riak, kata Ali Puteh

encik gotenks
0

Baru-baru ini, pelawak terkemuka negara, Ali Puteh ada berkongsikan pengalamannya ketika melalui waktu sukar ketika menghadiri uji bakat menyertai program Raja Lawak sebelum ini, Ali Puteh berkongsi nasihat buat mana-mana yang mahu mencuba nasib dalam bidang ini supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 33, memberitahu masalah kewangan antara kesukaran yang dia lalui untuk pergi ke lokasi uji bakat program tersebut sekitar tahun 2009 dahulu.

“Dua tahun saya mencuba nasib pergi uji bakat sebelum betul-betul diterima untuk muncul di televisyen. Ketika itu saya tidak dapat pergi ke semua tempat uji bakat kerana tiada modal yang cukup.

“Program sebegini sudah lama tidak ada. Jadi kepada sesiapa yang mahu cuba menjadi pelawak janganlah sia-siakan peluang yang ada.

“Saya amat mengalu-alukan kehadiran pelawak baharu dan nasihat saya supaya jadilah diri sendiri. Janganlah cuba meniru Zizan Razak, Nabil atau Johan.

“Apabila diterima nanti jangan pula terlalu riyak dan saling menghormati orang-orang dalam bidang ini,” katanya kepada mStar.

Ali bakal menjadi juri dalam salah satu lokasi pencarian bakat baharu program Awesome Raja Lawak untuk siaran Awesome TV.

Uji bakat untuk program ini akan diadakan di empat lokasi berbeza iaitu Pulau Pinang, Pahang, Johor dan Kuala Lumpur bermula Ahad, 4 Jun..

Selain Ali, antara pelawak lain yang bakal turun ke empat lokasi tersebut adalah Mamak Puteh, Ajak Shiro, Atu dan Fad Bocey.

Dalam pada itu, Ali juga diberi kepercayaan oleh stesen Awesome TV untuk menjadi watak utama dalam sebuah sitkom baharu berjudul Lot 69.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif stesen tersebut, Datuk Adam Ilyas, keputusan untuk mengekalkan nama program seperti yang pernah diterbitkan oleh Astro sebelum ini adalah kerana jenama tersebut sudah cukup sinonim.

"Kita kekalkan nama Raja Lawak itu sebab ia adalah satu jenama yang sudah kuat. Kalau kita pakai nama lain ia akan ambil masa lama untuk naikkan jenama itu.

"Lagipun nama itu memang sangat sinonim dengan program pencarian pelawak baharu,” jelasnya.

Sumber Artikel : mStar Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)