Saya tertarik dan idamkan lelaki berpendidikan, kata Aishah Azman

encik gotenks
0

Pelakon Aishah Azman, 26, tertarik dengan lelaki berpendidikan dan itulah ciri jejaka dicarinya sekarang.

Disebabkan pengalaman lalu, Aishah atau nama sebenarnya Nor Aishah Afika Azman Shah bukan fobia tapi kini lebih berhati-hati untuk menjalin hubungan cinta.

"Saya tak fobia, masih membuka pintu hati tapi belum berjumpa calon yang sesuai kerana saya lebih berhati-hati. Saya pun sudah ada pengalaman hal begini, jadi lebih mudah untuk saya tahu seseorang itu.

"Paling penting dia perlu menghormati orang tua, hormati keluarga saya dan diri saya sendiri. Selain itu, antara ciri-ciri yang saya suka adalah berpendidikan.

"Ini kerana bila seseorang itu ada pendidikan, dia lebih pandai untuk menyelesaikan masalah," katanya ketika ditemui di sidang media dan pelancaran supertelefilem Bangkitkan Aku Kembali di Laman NMR, Taman Setiawangsa, di sini, semalam.

Aishah tidak menafikan dia ada didekati beberapa lelaki, namun memilih untuk tidak melayan mereka setakat ini.

Dia juga sebolehnya tidak mahu menjalin cinta dengan individu yang turut bekerja dalam bidang hiburan.

"Ada saja lelaki yang cuba dekati saya sekarang tapi saya memilih untuk tidak melayan. Sebolehnya saya tak mahu orang yang berkecimpung dalam industri hiburan, saya mahu orang luar.

"Yang mendekati saya seperti yang saya cakapkan tadi itupun bukanlah golongan selebriti, mereka orang biasa. Mungkin juga menepati kriteria yang saya cakapkan tadi?" katanya.

Walaupun pernah bertunang dan terputus sebelum ini, Aishah berkata, dia sudah melupakan episod itu dan kini cukup rancak mengembangkan lagi karier seninya.

Bangkitkan Aku Kembali diadaptasi daripada karya novelis Sophilea di mana ia menampilkan genre seram sepenuhnya tanpa diselit unsur komedi dan lain-lain.

Selain Aishah, Bangkitkan Aku Kembali turut menampilkan pelakon lain seperti Amy Nur Tinie, Adam Corrie, Mustaqim Bahadon dan ramai lagi.

Penggambaran dijangka bermula tidak lama lagi dan ia bakal ditayangkan di ASTR0 First tahun ini.

Sumber Artikel : Harian Metro ( https://www.hmetro.com.my/rap/2022/06/850161/aishah-azman-idam-lelaki-berpendidikan )

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)