"Saya akan saman wanita (bernama F) dan portal itu."
Demikian kata pelakon Azri Iskandar susulan pendedahan seorang wanita yang mahu dikenali sebagai F yang mendakwa dijanji bernikah dan sudah berjumpa keluarga pelakon itu di kampung.
Azri, 54, ketika dihubungi berkata, dia menganggap tuduhan wanita itu fitnah hingga menjejaskan namanya.
"Saya tidak pernah ajak dia (wanita F) kahwin. Saya akan saman dia. Saya hanya ajak Azra Diera seorang saja kahwin lepas saya bercerai bukannya perempuan itu.
"Saya minta tolong dia hantar balik kampung sebab cukai jalan kereta dan lesen memandu saya sudah tamat tempoh selain minta hantar pergi kubur mak saya saja. Bukan kenalkan sebagai calon isteri seperti didakwa. Saya ada saksi tiga orang makcik saya. Mereka tahu saya ada cakap fasal kahwin atau tak.
"Waktu itu saya tidak ada calon isteri yang tepat lagi. Maka pada 29 Mei Allah temukan saya dengan Azra Diera. Saya balik kampung antara 25 atau 26 Mei. Saya belum kenal Azra lagi masa tu. Jad, celah mana perempuan tu kekasih saya? Saya cintakan dan hanya ada Azra seorang. Cinta terakhir saya sampai maati," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Azri, wanita F itu ada datang ke rumahnya selepas berita mengenai dirinya bakal berkahwin dengan Dr Azra Diera, 43, disiarkan pada 8 Jun lalu.
"Saya tidak ada mesej perempuan itu. Cuma, pada hari berita mengatakan saya nak berkahwin dengan Azra Diera, dia ada datang ke rumah saya dan bertanya mengenai kesahihahan cerita itu. Saya cakap betul sebab Azra Diera kekasih saya.
"Kebetulan pada masa itu saya nak keluar sebab ada mesyuarat untuk pementasan teater. Tapi dia masih ada depan rumah. Selepas saya cakap nak panggil polis baru dia pergi," katanya.
Dalam masa sama, Azri juga pelakon drama Kuasa berkata, disebabkan pendedahan wanita itu, ibu kepada kekasihnya, Dr Azra Diera, 43, pengsan dan dimasukkan ke hospital sejak kelmarin.
Lebih malang nama Azri juga digugurkan dari persembahan Teater Tan Sri Elyas kerana didakwa membawa impak buruk pada imej Tan Sri Elyas dan juga imej Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku penganjur.
"Mak Azra pengsan selepas tengok video temubual wanita itu. Sampai sekarang masih ditahan di hospital. Sedangkan mak dan ayah Azra menunggu masa saja saya bawa keluarga berjumpa mereka di Perlis. Mak dan ayah Azra pula sudah berumur 70 tahun lebih.
"Saya juga digugurkan dari pementasan teater Tan Sri Elyas oleh DBKL kerana mereka pun ingat berita fitnah tu betul. Mereka tak tanya saya langsung tapi terus buang," katanya.
Ditanya sejauh mana penerimaan bakal isterinya selepas pendedahan wanita F itu, Azri berkata Azra Diera tetap mencintai dirinya.
"Azra setia dengan saya. Dia tak ambil 'port' pun. Sejarah kami bermula 29 Mei hingga sekarang. Apa yang berlaku sebelum itu kami tak kisah kerana ia cerita lepas," katanya.
Terdahulu, Azri mengesahkan dia bakal berkahwin dengan wanita pilihannya yang juga penulis skrip, Azra Diera dan bakal menghantar rombongan merisik pada 23 Jun ini.
Sebelumnya, Azri dan pelakon Ellie Suriaty sah bercerai talak satu pada 17 Mei lalu selepas 19 tahun hidup bersama.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 13.
Azri juga menerusi perkahwinan pertama mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31; Farah Qistana, 29; dan Nur Anis Mastura, 27.
Sumber Artikel : Harian Metro