Hampir 100 pengusaha durian Musang King di Tanah Merah dan Jeli kerugian lebih RM1 juta apabila durian di kebun mereka mengalami kerosakan akibat penyakit misteri.
Tinjauan ke beberapa kebun durian di daerah berkenaan mendapati majoriti pengusaha menunjukkan durian yang menjadi buruk serta berulat sekali gus mengganggu rasa dan kualiti buah terbabit.
Pengusaha durian mendakwa satu pokok yang sebelum ini boleh menghasilkan hampir 500 durian untuk satu musim, kini hanya mampu menghasilkan beberapa buah sahaja yang sempurna untuk dijual.
Seorang pengusaha durian Musang King, Che Mohd Zaid Che Hasan, 65, berkata, keadaan itu adalah kali pertama terjadi sepanjang lapan tahun dia mengusahakan durian terbabit di Kampung Air Gatal, di sini, sehingga menyebabkan kerugian hampir RM100,000.
Akibat srangan penyakit misteri ini, durian menjadi cepat buruk, luruh belum tiba masanya selain kulit lebam kehitaman serta berulat menyebabkan buah tidak lagi sempurna. Rasa durian juga lebih tawar berbanding kebiasaan.
"Selain itu, pemborong durian dari seluruh negara yang menjadi pelanggan tetap di kebun ini juga sudah 'lari' kerana saya tidak dapat membekalkan kepada mereka Musang King berkualiti tinggi akibat penyakit misteri berkenaan.
"Selain Musang King, durian lain seperti D24, IOI, Tok Litok dan durian kampung juga turut dijangkiti penyakit misteri berkenaan. Boleh dikatakan hampir keseluruhan pokok di tanah seluas 1.2 hektar yang saya usahakan terkesan," katanya ketika ditemui di kebun durian miliknya di Kampung Air Gatal, di sini, semalam
Majoriti pengusaha durian Musang King yang ditemui mendakwa kejadian penyakit misteri itu adalah pertama kali berlaku di kebun mereka, selain memberi kesan kepada hampir 95 peratus buah durian.
Sementara itu, Ibrahim Abdullah, 65, yang juga pengusaha durian Musang King di Kampung Ayer Chanal, di sini, berkata, dia terpaksa menjual Musang King yang siap dipaket kerana majoriti buah yang terhasil di kebunnya berulat dan rosak
"Buah siap dipaket dijual pada harga lebih murah berbanding dijual sekitar RM35 sehingga RM40 sekilogram. Dengan cara ini, kami boleh memilih sendiri isi yang elok sebelum dijual kepada pelanggan.
"Umum mengetahui bahawa Musang King adalah antara durian yang harganya sedikit mahal, jadi bila pelanggan menerima buah yang tidak elok sudah pasti ia menjadi isu besar menyebabkan kami terpaksa menggantikan dengan buah baharu." katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang kawasan Lanas Jedok, Tanah Merah, Zulkifli Yunus berkata, kebanyakan penduduk di situ mengusahakan tanaman termasuk durian dan ini menjejaskan pendapatan mereka.
Menurutnya, pihak bertanggungjawab diharap dapat turun padang membantu menyelesaikan masalah penyakit misteri berkenaan sekali gus mengkaji secara terperinci supaya dapat mencari jalan penyelesaian terbaik kepada pengusaha durian.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro