Lagi 2 minggu, harga durian kampung Balik Pulau dijangka dijual semurah RM1 sekilo

encik gotenks
0

Penggemar buah durian kampung Balik Pulau dikatakan mampu menikma­tinya pada harga serendah RM1 sekilogram dalam tempoh dua minggu lagi ketika musim buah luruh sepenuhnya di negeri ini.

Bukan setakat itu, buah dalam kategori ‘mampu beli’ itu juga dikatakan akan kekal dinobatkan sebagai legasi raja buah pertama di daerah Barat Daya dan tidak mampu ditandingi dengan gred premium lain seperti mu­sang king, duri hitam, horlo dan udang merah.

Ketika ini, buah durian kampung dijual pada harga RM5 hingga RM10 sekilogram di peringkat pekebun dan peniaga tepi jalan.

Seorang pemilik dusun durian di Pulau Betong, Md. Saad Hasan, 75, berkata, harga pasaran bagi buah durian kampung Balik Pulau dijangka turun mendadak saat berlaku lambakan buah pada pertengahan bulan ini.

Ujarnya, meskipun hasil pengeluaran buah itu dianggarkan hanya 20 hingga 30 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu, namun tetap memberi kesan kepada nilai pasarannya.

“Kemungkinan harga durian kampung Balik Pulau akan turun sehingga RM1 sekilogram nanti. Perubahan akan berlaku bila-bila masa mengikut kuantiti buah yang ada di pasaran.

“Ketika ini, sudah ramai yang mula menempah dan datang terus ke rumah untuk menikmati rasa asli durian mampu milik itu.

“Buah inilah yang paling dicari-cari peminat tidak kira usia pada ketika ini. Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata mahu merasai kenikmatan buah lama sebelum wujudnya buah durian kahwin,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam..

Katanya, tempahan sebanyak 100 kilogram buah durian kampung diterimanya dalam sehari sejak pengeluaran buah itu awal Mei lalu.

Sementara itu, peniaga dan pemilik dusun durian di daerah Barat Daya, Tan Chee Keat, 31, pula berbeza pendapat dan berkata, harga durian kampung Balik Pulau tidak mungkin jatuh sehingga RM1 sekilogram berikutan masih mempunyai identiti dan nilai pasaran yang tinggi.

Jelasnya, meskipun berlaku lambakan buah di pasaran negeri ini, namun durian kampung tetap diangkat sebagai buah bawa tuah dalam kalangan peniaga.

“Ini kerana durian kampung masih ada nilai dan keistimewaanya tersendiri, sekali gus berupaya dipasarkan pada harga minimum RM3 sekilogram dua minggu lagi berbanding ketika ini dijual antara RM8 hingga RM12 sekilogram,” ujarnya.

Sumber Artikel : Kosmo! Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)