Seorang wanita di Indonesia nekad menyerbu majlis perkahwinan suaminya dengan isteri kedua bagi menggagalkan percubaan nikah tersebut, lapor laman Tribun Jateng hari ini.
Menerusi rakaman video yang kini tular TikTok, isteri pertama itu membawa ahli keluarganya untuk ‘menyerang’ majlis perkahwinan suaminya dengan wanita lain.
Paparan video menunjukkan wanita itu masuk ke dalam rumah di mana lokasi perkahwinan sedang berlangsung dan bertemu dengan pengantin perempuan.
“Saya isteri kepada Yusuf, sila jangan teruskan perkahwinan ini. Adakah anda tidak tahu bahawa dia sudah beristeri dan mempunyai anak?
“Jika perkahwinan ini diteruskan, saya akan tuntut semua harta Yusuf yang ada,” demikian amaran yang diberi isteri pertama kepada bakal madunya.
Video tersebut menerima pelbagai reaksi netizen yang menyokong tindakan isteri pertama dan menyalahkan lelaki tersebut kerana tidak meminta izin untuk berkahwin lain.
“Puan, jika perlukan bantuan sila beritahu. Kami para netizen sedia membantu bagi memastikan mereka berdua tidak jadi bernikah,” komen seorang pengguna media sosial.
Menurut sumber, pasangan tersebut memilih untuk tidak meneruskan acara perkahwinan mereka. – Agensi
Sumber Artikel : Kosmo! Online