Guru Potong Rambut Pelajar Tanpa Kerelaan, Boleh Ke Ibu Bapa Nak Saman Dan Heret Ke Mahkamah? – Peguam Nor Zabetha Kongsi Pendapat Berkenaan Isu Ini

encik gotenks
0

Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila tular satu posting yang memaparkan tindakan seorang guru disiplin yang menggunting rambut pelajarnya tanpa kerelaan pelajar itu.

Ramai netizen terutamanya ibu bapa yang memberikan pendapat masing-masing, ada yang menyokong dan ada yang mengecam. Ada juga yang sampai mencadangkan agar isu ini di bawa ke mahkamah dan tindakan menyaman guru tersebut wajar dibuat bagi memastikan tidak berlaku lagi kejadian sedemikian rupa.

Peguam Nor Zabetha Muhammad Nor tampil memberi pendapat melalui satu hantaran yang dibuat di Facebooknya berikut:

Boleh tidak kalau ada ibu bapa hendak saman kerana cikgu potong rambut pelajar tanpa kerelaan?

Kita tolak tepi sekejap cerita saman-menyaman ini. Saya ada terbaca satu petikan dalam salah sebuah buku.

Tulisnya, sewaktu di sekolah kita diajar tentang disiplin setiap hari dan kita dipantau oleh guru-guru. Satu proses yang membentuk seorang kanak-kanak. Apabila tamat belajar, tiada lagi kawalan dan tunjuk ajar begini.

Benar. Waktu sekolah. Ada rutin kita perlu ikuti. Bangun awal pagi. Kalau lewat ke sekolah boleh didenda. Kita tidak boleh ponteng sekolah atau kelas. Pakaian perlu kemas. Kerja sekolah perlu siap. Buku perlu bawa ke sekolah. Buku perlu baca dan ulangkaji.

Kalau zaman saya dahulu, bukan sahaja rambut tidak boleh panjang. Liquid Paper pun tidak boleh bawa. Cyberpet, video game Tetris dan segala jenis mainan tidak boleh dibawa. Paling kuat pun main pemadam, tutup botol dan batu seremban, itu pun boleh dirampas melainkan habis peperiksaan akhir tahun. Waktu peperiksaan akhir tahun ini, sebahagian mainan boleh dibawa.

Kami patuhi peraturan sekolah. Konsepnya belajar mengikut sistem. Dalam kehidupan manusia ini dari awal sehingga sudah, perlu ada sistem, rutin dan displin. Segala rutin dan praktis yang diajarkan sejak zaman sekolah yang kita bawa sehingga alam pendidikan tinggi dan alam pekerjaan.

Kalau tiada sistem, jadilah ikut suka. Bangun pukul berapa ikut suka. 12 tengahari pun boleh. Kemudian ikut sukalah, hendak datang kerja atau tidak. Ikut sukalah, hendak ikut peraturan atau tidak. Kehidupan yang begini saya rasakan tiada hala tuju.

Sebab itu dari awal ke sekolah itu, pada saya bukan hanya sekadar menimba ilmu. Sekolah itu adalah asas (foundation) kita. Tiang kita untuk menimba segala ilmu dan menguatkan displin dalam diri.

Sejak umur 7 tahun sehingga 17 tahun. Selama 10 tahun ini rutin dan displin yang sama dalam kehidupan kita. Membentuk kita sebagai individu.

Tamat sahaja sekolah. Tiada lagi kita dikawal oleh pihak sekolah atau guru-guru. Kehidupan di universiti atau kolej lebih bebas. Ada yang tidak sambung belajar dan terus bekerja. Semuanya atas diri sendiri. Tiada guru yang hendak mengawal kita. Semuanya pada diri kita sendiri.

Bab rutin ini, bila telah jadi sebahagian hidup kita selama bertahun-tahun dan kalau tidak buat terasa amat janggal walaupun tiada yang memaksa.

Contohnya, kita sudah terbiasa gosok gigi. Kalau disuruh ganti dengan kumuran mulut sahaja tetapi tidak gosok gigi. Rasa janggal dan tidak kena sepanjang hari. Sudah menjadi rutin dan sebahagian dari kehidupan kita. Begitulah bagaimana rutin yang telah ditanam sebagai satu sistem harian kita.

Pada saya peraturan berambut pendek di sekolah itu adalah sesuatu amalan yang baik untuk menanam disiplin dalam kalangan pelajar. Perlu dipatuhi. Kalau gagal patuhi pasti ada denda dan hukumannya.

Begitulah dalam kehidupan ini dari kecil sehingga kita dewasa, kalau melanggar peraturan pasti ada kesan dan akibatnya. Itulah yang cuba ditanamkan dari sekolah lagi.

Kalau tidak mahu menghadapi hukuman atau denda dari awal lagi kita elakkan melakukan kesalahan. Tidak mahu rambut dipotong oleh guru, jangan simpan rambut panjang.

Realiti kehidupan sehingga dewasa. Tidak mahu disaman di jalan raya atau didenda patuhi undang-undang. Tidak mahu dipenjara kerana kesalahan jenayah, jangan buat kesalahan jenayah. Sistem yang mudah untuk difahami. Sudah dibentuk dalam diri kita sejak alam persekolahan lagi.

Saya sendiri berpendapat bahawa sistem sekolah itu telah membentuk diri dan displin saya sejak kecil lagi. Melentur buluh biar dari rebungnya.

Tradisi dan sistem yang sudah bertahun lamanya. Selagi mana tiada salah guna kuasa. Selagi mana tidak melampaui batas. Kita patuhi.

Oleh Nor Zabetha

Sumber Artikel : Facebook Nor Zabetha

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)