Baru-baru ini viral di media sosial satu posting yang memaparkan PBT yang mengambil tindakan merobohkan struktur rumah pangsa yang telah mengubahsuai tanpa kebenaran.
Isu ini telah menarik minat banyak pihak, bukan sahaja netizen malahan aktivis masyarakat terkenal Uncle Kentang turut sama melontarkan pandangan berhubung isu terbabit.
Memetik laporan dari blog malaysiapost, pemilik nama penuh Kuan Chee Heng menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempertimbangkan hukuman lebih ringan seperti denda terhadap pemilik flet yang melakukan ubahsuai struktur rumah mereka tanpa kebenaran.
Uncle Kentang berkata lagi, sekiranya ubah suai flet itu sudah lama mencecah puluhan tahun dan tidak mengganggu keselamatan penghuni flet lain, cukuplah setakat mendenda pemilik rumah.
Jelasnya lagi, ini kerana flet lama yang dibina kerajaan adalah terlalu kecil iaitu hanya mempunyai dua bilik dan satu bilik air, sekali gus menyukarkan kehidupan keluarga terutama golongan miskin berkenaan.
“Kerajaan bina flet kecil. Yang beli ramai Melayu yang tak mampu beli rumah mewah atau rumah teres. Ramai India dan Cina pun sama juga tak mampu beli rumah teres.
“Flet dua bilik satu bilik air. Nak berak kencing kena ambil nombor. Flet lama lah ye. Tidur kena jaga aib. Anak makin membesar. Kalau ada perempuan ada lelaki kacau,” katanya menerusi Facebook.
Uncle Kentang berkata, itu belum mengambil kira hubungan kelamin suami isteri, kerana keadaan rumah yang sempit dan tidak selesa selain mempunyai anak ramai.
“Nak tak hendak buat ‘reno’ sikit kasi besar lah rumah flet. Nak beli rumah teres masih tak mampu.
“Kita negara berlandaskan agama. Kita berkebajikan. Kalau ia menganggu keselamatan jiran, kita terpaksa ambil tindakan. Kalau tidak, tak perlu lah,” katanya.
Mengambil contoh kawasan perumahan di Kampung Datuk Haron, Petaling Jaya, Uncle Kentang berkata, PBT perlu membuat pertimbangan wajar dengan mengambil kira perkara berbangkit.
Beliau berkata, antara faktor wujud gelandangan di negara ini adalah keadaan rumah atau flet yang sempit dan tidak selesa, menyebabkan mereka memilih untuk tidur di kaki lima.
“Kita bagi chance. Ini perkara sudah lama dan sudah biasa. Tengok Kampung Dato Harun. Memang sedih apabila anak ramai. Orang tidur gelandangan lebih baik dari tidur dalam flet.
“Selesa tidur tepi jalan dari tidur dalam flet. Sempit. Ramai yang tidur di ruang tamu,” katanya.
Jelasnya lagi, rumah yang sempit itu juga menjadi faktor banyak pasangan bercerai terutama orang Melayu kerana ‘sukar’ untuk melakukan hubungan suami isteri disebabkan tidak mempunyai bilik sendiri sekali gus mencetuskan konflik rumahtangga.
“Anak-anak nak berak pun kena bajet masa kerana adik-adik nak pakai tandas. Lama-lama kena kanser usus kerana berak tak puas,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu membina flet yang lebih selesa sekiranya ikhlas mahu membantu rakyat.
“Sedih lah, kalau kerajaan nak bantu rakyat buatlah flet yang mampu di beli dan mempunyai empat bilik dan dua bilik air,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihati inidvidu yang sering berasa dengki dan iri hati terhadap jiran yang melakukan ubahsuai rumah supaya lebih berlapang dada dan bersih hati, selagi ia tidak mengganggu pihak lain.
“Bukan semua orang hidup senang, itu duit reno itu pun (mungkin) dah kumpul bertahun tahun. Simpan sikit sini simpan sikit sana. Entah-entah pinjam dengan ah long atau sanak saudara,” katanya. – Malaysiapost
Sumber Artikel : https://malaysiapost.com.my/2022/05/31/cukuplah-denda-jangan-roboh-selagi-selamat-tak-ganggu-orang-uncle-kentang