Seorang pegawai kanan polis menyangkal tanggapan bahawa menjadi tanggungjawab polis untuk membantu mangsa penipuan mendapatkan semula wang mereka.
Undang-undang sedia ada tidak memberi kuasa kepada polis untuk berbuat demikian, katanya mengulas laporan mengenai seorang pereka grafik Shahrul Ashraf Sallehuddin yang berjaya menjejak seorang “scammer” malah memaksanya memulangkan wang miliknya dan sembilan mangsa lain.
Menurut Shahrul, pihak berkuasa memaklumkan kepadanya bahawa mereka tidak menjejak individu itu dan “sukar untuk mendapatkan semula wangnya”.
Pegawai itu, iaitu ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial daerah yang enggan namanya didedahkan berkata: “Tugas polis adalah untuk menahan, menyiasat dan mendakwa suspek selepas menerima arahan daripada timbalan pendakwa raya. Polis tidak boleh bertindak sendiri.
“Saya faham mangsa mahu wang mereka dikembalikan. Kalau saya jadi mangsa, saya pun begitu, tetapi kita kena ikut undang-undang.”
Katanya, polis sering dipersalahkan apabila mangsa gagal mendapatkan kembali wang mereka. Tambahnya, orang awam juga sering keliru antara “keldai akaun” dan “scammer”.
“Mereka yang menipu tidak semestinya ‘scammer’, sebaliknya mungkin sekadar ‘keldai akaun’. Mereka benarkan orang lain guna akaun mereka dan tindakan ini jelas menyalahi undang-undang.
“‘Scammer’ bukanlah bodoh dan tidak akan guna akaun bank sendiri. Ini bererti apabila seorang suspek ditahan, ‘scammer’ berkenaan mungkin masih bebas,” katanya.
Sementara itu, aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan berkata, polis patut memperbaiki cara mereka menangani kes penipuan.
“Perlu ada perubahan dalam sikap segelintir pegawai penyiasat apabila mengendalikan kes seperti itu. Mereka perlu menunjukkan bahawa mereka prihatin dan menyiasat kes itu habis-habisan,” katanya.
Beliau memberitahu FMT bahawa persatuannya telah membantu puluhan mangsa yang menemui jalan buntu selepas cuba mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
“Ini menunjukkan bahawa kes-kes berkenaan boleh diselesaikan,” katanya.
Sumber Artikel : FMT