“Saya betul-betul berharap anak saya berjaya mendapat dokumen kewarganegaraan sebelum mula bersekolah tahun depan.”
Itu hasrat seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Alison, 38, mengenai permohonan mendapatkan dokumen kewarganegaraan anak tunggal prempuannya dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Alison yang juga seorang penyelidik hadir ke JPN sekitar pukul 9 pagi kelmarin bersama 10 wanita yang mahu memeriksa status permohonan dokumen warganegara anak-anak mereka.
Menurut Alison, dia melengkapkan dan menghantar borang D iaitu borang Permohonan Daftar Kelahiran Luar Negara bagi anaknya yang kini sudah berusia enam tahun pada Mac lalu selepas mengetahui tentang pengiktirafan yang diperoleh susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Disember 2021.
“Saya akan membesarkan anak saya di negara ini kerana keluarga juga di sini, tapi bagaimana dia hendak ke sekolah rendah jika tiada dokumen kewarganegaraan?
“Setiap tahun perlu buat visa pelajar dan masuk ke sekolah lebih lewat berbanding yang lain serta tidak mendapat kelebihan dinikmati seperti anak-anak lain walhal anak saya berhak untuk mendapat kesemuanya memandangkan saya merupakan seorang warganegara,” katanya ketika ditemui di pekarangan JPN di sini.
Jelasnya, pada 2016, dia mrancang melahirkan bayi di Malaysia namun tidak kesampaian apabila anaknya lahir tak cukup bulan ketika dia bersama pasngan bekerja di China.
Tambahnya, selepas menamatkan kontrak pekerjaan di luar negara, dia mengambil keputusan pulang ke Malaysia ketika pandemiik C0vid-19 dan menetap di Semenyih, Selangor sehingga kini manakala pasngannya bekerja di Brunei.
Sementara itu, bagi Khairun Nisaq Taslim, 36, dia sanggup meninggalkan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di Portugal dan pulang ke Malaysia demi masa depan anaknya.
Bekerja dalam bidang IT, beliau memaklumkan telah menghantar permohonan dokumen kewarganegaraan anaknya namun ditolak berikutan tidak menyertakan sijil pengesahan nikah.
Menurut jurucakap Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur, Bina Ramanand, ada ibu sanggup meredah perjalanan sehingga beratus kilometer dari Johor Bahru dan Pulau Pinang untuk mengetahui status permohonan dokumen kewarganegaraan anak-anak mereka.
Sumber Artikel : Utusan Online