Air hujan bertakung? ia perkara biasa bukan luar biasa, kata Pengurus Kompleks Sukan Negeri Terengganu

encik gotenks
0

Ia perkara biasa bukan luar biasa," itu kata Pengurus Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), A Zulkefli Mohammad berhubung air hujan bertakung di tempat duduk penonton di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Kejadian itu berlaku di tempat duduk penonton bawah ketika aksi Liga Super membabitkan pasukan tuan rumah, Terengganu FC (TFC) bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC).

Beliau berkata, situasi itu adalah perkara biasa setiap kali hujan lebat, namun keadaan berkenaan tidak lama kerana air akan mengalir ke dalam longkang dengan cepat bergantung keadaan hujan.

"Jika hujan lebat, air akan bertakung, situasi ini adalah biasa, bukannya luar biasa, tapi selepas kira-kira 10 minit air dari atas itu akan mengalir ke dalam longkang.

"Padang bola pun air bertakung hanya seketika, inikan pula tempat duduk aras paling bawah penonton itu, lagipun tempat berkenaan adalah salah satu saluran keluar air.

"Harap peminat terutama daripada pasukan lawan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak sepatutnya kerana peminat setia skuad tuan rumah sudah mengetahui dan memahami situasi itu setiap kali hujan lebat melanda," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Bahagian Infrastruktur dan Kemudahan berkata, pihaknya sentiasa peka dengan keadaan yang berlaku.

"Kita sentiasa memantau keadaan itu termasuk aliran air supaya tidak tersumbat, lagipun ketinggian air tidak menentu, tapi tidak melebihi satu kaki (0.3 meter), namun ia tidak menjadi masalah kepada pengurusan pihak stadium," katanya.

Terdahulu tular dalam laman sosial selepas penonton pasukan pelawat memuat naik gambar kaki mereka berada dalam air sehingga paras lutut selepas tempat duduk mereka digenangi air susulan hujan lebat.

Dalam hantaran daripada Ultras Nogori 9 itu menyatakan ,"Memang moden Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ni. Ada sungai kat 'seat' (tempat duduk) penyokong. Silap2 kojap laie penyu mendarat nak bertelur," katanya.

Dalam perlawanan malam tadi yang berkesudahan terikat 0-0, perlawanan terpaksa dihentikan sejam oleh pengadil, Mohamad Zamzaidi Katimin sebelum disambung semula memasuki minit ke-14 kerana hujan lebat disusuli kilat.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)