Lebih tujuh juta kereta dan lori buruk tersadai di seluruh negara berikutan ketiadaan dasar membabitkan pelupusan kenderaan lama itu.
Keadaan itu juga menyebabkan di banyak kawasan perumahan dan kemudahan awam menjadi tempat lambakan kenderaan berkenaan sehingga mengganggu masyarakat setempat.
Pendedahan itu dibuat sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membabitkan kajian berkenaan End of Life Vehicle (ELV).
Salah seorang penyelidik, Prof. Dr. Rozmi Ismail berkata, penyelidikan tersebut merupakan satu keperluan pada ketika ini memandangkan jumlah kenderaan buruk tersadai yang semakin bertambah setiap hari.
“Bayangkan apa akan berlaku dalam 20 tahun lagi, jika pemilik tidak ada kesedaran untuk melupuskan kenderaan masing-masing.
“Sudah tentu fenomena ini mencacatkan pemandangan sekitar dengan keadaan kereta-kereta yang sudah lama dibiarkan mereput di bahu-bahu jalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujar Rozmi yang juga Pakar Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, apa yang lebih membimbangkan, kenderaan-kenderaan tersadai itu sebenarnya mendatangkan pencemaran kepada alam secara tidak langsung.
“Kenderaan yang ditinggalkan dengan keadaan masih mempunyai minyak enjin dan sebagainya mampu melepaskan bahan kimia ke udara sekaligus mewujudkan persekitaran yang tidak sihat.
“Lama-kelamaan ia akan mencemarkan alam sekitar serta kesihatan masyarakat sekeliling kerana kualiti udara yang tidak sihat. Itu belum lagi kita ambil kira keadaan kereta yang duah kotor dan buruk akan menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes yang akhirnya akan menyebabkan kejadian denggi berlaku,” luahnya.
Untuk rekod, jumlah kenderaan berdaftar di negara ini sebanyak 33 juta iaitu hampir menyamai bilangan penduduk di negara ini. Malah, jumlah kenderaan berdaftar itu juga merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara. – UTUSAN
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Utusan Online