viral
Terima kasih Hafez
KEKASIH GELAPMUTelahan Hafez Sabri, 36, bahawa dua warga emas itu dalam kesusahan nyata tepat apabila mereka yang dihampiri dekat hentian di Plaza Tol Ipoh Utara menghala selatan memberitahu tertinggal bas ekspres.
Kejadian berlaku pada 11.30 malam, Ahad lalu ketika Hafez dalam perjalanan pulang ke Ipoh.
Dia juga berkongsi kisah menemui suami isteri berusia lingkungan 60-an itu di media sosial, sebelum tular sejak beberapa hari lalu.
Mengimbas kejadian berkenaan, Hafez berkata, dia menemui warga emas yang hampir menyamai usia ibu bapanya ketika berhenti untuk solat Isyak di hentian terbabit.
"Selepas selesai solat, saya kembali ke kereta dan melihat beberapa kenderaan menyalakan lampu dan membunyikan hon. Saya cuba cari punca mereka begitu dengan memerhatikan sekeliling, hinggalah perasan ada suami isteri berjalan di bahu lebuh raya tanpa tujuan.
"Menyedari keadaan itu berbahaya, saya terus memandu menghampiri mereka dan menjemput warga emas itu masuk ke dalam kereta.
"Dari situ baru saya tahu mereka tertinggal bas ekspres yang dinaiki dari Sungai Petani ke Johor Bahru ketika turun untuk menunaikan solat di hentian berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasangan itu juga tidak tahu bagaimana caranya untuk menaiki bas itu semula dengan barangan mereka masih berada dalam pengangkutan awam berkenaan.
Katanya, dia sangat simpati dengan nasib mereka dan cuba membantu namun, menerima maklumat yang sangat terhad mengenai bas dinaiki pasangan terbabit.
"Saya akhirnya membawa mereka ke Terminal Bas Aman Jaya, Meru, di sini. Nasib baik bas yang dinaiki pasangan itu berhenti seketika di terminal bas berkenaan.
"Alhamdulillah, suami isteri itu dapat menaiki semula bas mereka. Saya bersyukur kerana bantuan kecil ini dapat memudahkan urusan mereka yang sudah pasti buntu, tambahan pula pada waktu malam," katanya.
Hafez berkata, dia berkongsi kisah itu sekadar dorongan kepada orang ramai untuk membantu orang yang dalam kesusahan dan tidak menyangka perkongsiannya mendapat perhatian dan tular.
"Ahli keluarga pasangan itu juga ada menghubungi saya (di media sosial) dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan.
"Kisah yang saya kongsi bukan mahu menunjuk-nunjuk tetapi niat hanya untuk mempromosikan kebaikan dalam kalangan masyarakat tidak mengira usia, bangsa dan agama," katanya.