Sejak dua menjak ini,ada beberapa isu yang selama ini hanya sementara kini seolah-olah muncul tanpa penghujung.
Antara masalah itu ialah perkhidmatan penghantaran daripada syarikat JnT. Bila sebut saja tiga aksara ini, pastinya ia terkait dengan satu platform ini iaitu Shopee. Kita semua tahu, masalah ini bukan baru wujud.
Terkini, lebih ramai pengguna bukan saja merungut, bahkan 'mengamuk' disebabkan barang mereka 'diperam' sejak sebelum raya lagi. Tidak cukup dengan itu, ada juga dapati barang mereka hilang tanpa sebarang justifikasi daripada JnT.
Seorang penggiat kandungan di YouTube, Exan Jaz berkongsi pengalamannya berurusan dengan sebuah stor JnT di Johor.
Berdasarkan video ini, barang tersebut sudah diserahkan pada JnT sebelum hari raya lagi. Disebabkan lama tidak bergerak, dia kemudian ke pejabat JnT untuk mengetahui status barang tersebut namun mereka memberitahu ia sudah diuruskan rider.
Tetapi, ia hanya jawapan untuk 'menyedapkan' hati pelanggan.
Lama selepas itu, dia pergi semula ke gudang (warehouse) JnT namun diberitahu barang tersebut tidak ada pada mereka sedangkan rekod menunjukkan ia sudah diterima gudang.
Difahamkan juga pengurusan gudang kini bukan lagi di bawah JnT tetapi pihak ketiga lantas menyumbang pada lambakan barangan yang tidak dapat diuruskan sebaik mungkin.
Selain itu, untuk tuntutan barangan hilang, JnT menetapkan bahawa hanya penghantar boleh melakukannya.
Yang lebih musykil ialah mengapa Shopee tidak mengambil sebarang tindakan sedangkan pastinya bahagian perkhidmatan pelanggan mereka sedar isu diadukan penjual dan pembeli.
Bermula Jun 2021, Shopee menggunakan alasan penetapan kurier secara automatik adalah usaha mereka memberikan perkhidmatan lebih baik kerana pesanan diagihkan berdasarkan kemampuan dan prestasi.
Ramai pengguna meluahkan rasa tidak puas hati dengan peraturan ini.
Jika Shopee benar-benar mengambil peduli kepuasan pengguna seperti dikatakan, mereka seharusnya mengambil tindakan tentang isu yang sudah lama berlaku ini.
Bukan itu sahaja, Shopee juga perlu membuktikan pengagihan kepada syarikat kurier adalah telus dan berkongsi bagaimana ia beroperasi agar ia menjawab ketidakpuasan hati pengguna.
Tidak dinafikan, ada ramai lagi pekerja JnT yang berkhidmat dengan bagus dan terus bersabar melayan pelanggan walaupun beban sedia ada sudah cukup banyak.
Malah, ada saja cawangan JnT yang beroperasi dengan cemerlang. Tapi kita faham, ia tertakluk pada kawasan.
Diharapkan pengurusan JnT dan Shopee tidak berlepas tangan kerana yang terjejas bukan hanya pelanggan dan pembeli tapi juga pekerja bawahan yang berhadapan dengan pengguna.
Sumber Artikel : https://wiser.my/ramai-tidak-puas-hati-dengan-jt-pertikai-mengapa-shopee-masih-gunakannya